Penunjuk perasaan anti-rampasan kuasa Sudan berhimpun di Khartoum


RATUSAN penunjuk perasaan anti-rampasan kuasa Sudan turun ke jalan raya pada Sabtu, dua hari selepas tentera mengetatkan kawalan dan menubuhkan majlis pemerintah baharu.

Protes pro-demokrasi berlaku hampir tiga minggu selepas jeneral tertinggi Abdel Fattah al-Burhan menggulingkan kerajaan, menahan kepimpinan awam dan mengisytiharkan darurat.

“Berpuluh-puluh orang berkumpul dan mula melaungkan slogan menentang pemerintahan tentera dan berarak untuk bergabung dengan perhimpunan lain,” kata Mohieddine Hassan, seorang saksi dari daerah Al-Shajarah di selatan Khartoum.

Pengambilalihan kuasa tentera pada 25 Oktober mendapat kecaman antarabangsa yang meluas, begitu juga dengan tindakan keras terhadap demonstrasi jalanan oleh orang ramai yang menuntut ia memulihkan peralihan demokrasi negara.

Harapan penunjuk perasaan bahawa tentera akan berundur telah musnah pada Khamis, apabila Burhan menamakan dirinya sebagai ketua pemerintahan baharu Majlis Berdaulat yang mengecualikan blok awam utama negara itu, mencetuskan lebih banyak kecaman daripada Barat.

“Tidak, tidak kepada pemerintahan tentera”, ” Pemerintahan sivil adalah pilihan rakyat”, dan “Down with the entire council”, jerit penunjuk perasaan di selatan Khartoum pada hari Sabtu.

Beratus-ratus penunjuk perasaan turut berkumpul di bandar Omdurman di ibu negara, kata saksi.

Protes itu terus berlaku walaupun kehadiran besar tentera, polis dan pasukan separa tentera di Khartoum, yang mana jambatan menghubungkan ibu negara ke bandar-bandar jiran ditutup, lapor wartawan AFP.

Pasukan keselamatan turut menyekat jalan menuju ke ibu pejabat tentera di Khartoum, tempat protes duduk beramai-ramai pada 2019 yang membawa kepada penyingkiran presiden autokratik Omar al-Bashir, tambah wartawan itu. – AFP, 13 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen