MAYAT seorang pemuda Syria ditemukan di kawasan hutan berhampiran sempadan Poland dan Belarus, kata polis Poland.
Ia menjadikan jumlah pelarian yang ditemukan mati meningkat kepada 11 orang sejak krisis bermula pada musim panas lalu, menurut kumpulan bantuan.
“Mayat seorang pemuda Syria ditemukan semalam di kawasan hutan berhampiran Wolka Terechowska,” kata polis wilayah Podlasie dalam satu kenyataan.
“Punca kematian masih belum dapat dipastikan.”
Polis juga berkata sekitar 100 orang pelarian cuba menyeberangi sempadan pada waktu malam di kawasan yang sama.
“Selepas melihat polis dan tentera, mereka yang berada di sebelah Belarus lari ke kawasan hutan,” katanya.
Pengawal sempadan Poland menuduh pihak tentera Belarus merosakkan beberapa pagar kawat duri yang dipasang oleh polis Poland pada waktu malam, dan mendedahkan rakaman video kononnya anggota tentera Belarus menggunakan laser dan lampu strob ketika melakukannya.
“Pada waktu malam, tentera Belarus cuba meruntuhkan penghadang sementara. Mereka menjatuhkan tiang pagar dan merosakkan kawat duri dengan kenderaan,” kata pengawal sempadan.
Ia turut mendakwa tentera Belarus membekalkan gas pemedih mata kepada pelarian untuk digunakan terhadap tentera Poland.
Ribuan pelarian—kebanyakannya dari Timur Tengah—cuba menyeberangi sempadan EU dan Nato sejak musim panas lalu.
Krisis mula memuncak apabila sekumpulan besar pelarian tiba di sempadan itu dan cuba menyeberanginya. – AFP, 13 November, 2021.
Komen