Mengapa SPR lambat panggil mesyuarat, tanya pemimpin Sarawak


Desmond Davidson

Tiga minggu selepas darurat dibatalkan baru SPR keluarkan tarikh, berbeza dengan amalan biasa, kecam Abdul Karim Hamzah. – Gambar The Malaysian Insight, 13 November, 2021.

NAIB Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim Hamzah mengecam Suruhanjaya Pilihan Raya yang didakwanya lambat memberi tarikh mesyuarat khas untuk menetapkan tarikh Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan semalam berkata mesyuarat itu akan diadakan di Kuching pada 24 November depan dan dipengerusikan Pengerusi SPRM Abdul Ghani Salleh.

“Mengapa SPR ambil masa sampai tiga minggu untuk menentukan tarikh mesyuarat?” tanya Karim.

Beliau yang juga menteri pelancongan, kesenian dan kebudayaan negeri turut mempersoalkan mengapa SPRM tidak bertindak sebagai kelaziman selepas dimaklumkan perisytiharan darurat Sarawak ditarik balik oleh Yang Dipertuan Agong seterusnya secara automatik membubarkan DUN pada 3 November.

“Amalan lepas adalah ada mesyuarat dalam seminggu.”

Mesyuarat itu biasanya akan menentukan tarikh Writ Pilihan Raya, hari penamaan, hari pengundian, senarai pemilih yang digunakan dan persediaan lain untuk menjalankan pilihan raya.

“Saya bingung mengapa mereka ambil masa sampai tiga minggu.”

Karim turut berkata, SPR mungkin akan memberi alasan PRN Melaka kerana kelewatan mesyuarat itu.

“Bagi saya, ini bukan alasan yang baik. Apa jadi jika empat lima negeri ada pilihan raya serentak?”

Menurutnya berdasarkan masa yang ada sekarang, “hanya Disember ada” untuk pilihan raya diadakan.

“Sekarang bukan soal ada banjir atau tidak. Kita kena adakannya (pilihan raya).”

Karim yang merupakan Adun Asajaya selama empat penggal, besar kemungkinan akan mempertahankan kerusi majoriti Melayu di Samarahan itu pada pilihan raya ini.

Beliau mewarisi kerusi itu daripada bekas ketua menteri yang kini menjadi Gabenor Abdul Taib Mahmud yang menyandangnya selama dua penggal, sejak ia pertama kali dibentuk pada 1991 sehingga 2001.  – 13 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen