SERAMAI tujuh anggota polis terbunuh dan lima lagi cedera dalam serangan di Burkina Faso berhampiran Niger dan Mali.
Ketua Polis Jean Bosco Kienou berkata semua mangsa dipercayai menjadi sasaran penyerang bersenjata berhampiran jambatan Alkoma.
“Susulan serangan itu, tujuh anggota polis terkorban manakala lima lagi yang cedera dikejarkan ke hospital di wilayah Dori bagi mendapatkan rawatan.
“Pasukan keselamatan turut dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari,” katanya dalam satu kenyataan.
Kienou turut memuji semangat anggotanya yang terbabit dalam pertempuran menentang pengganas.
Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian berkata kira-kira 13,000 pelarian Mali yang ditempatkan di Kem Goudoubo dekat wilayah Dori terpaksa menyelamatkan diri susulan serangan berkenaan.
Kumpulan penyerang yang dikaitkan dengan Al-Qaeda sering melakukan serangan hendap dan setakat ini mengorbankan 2,000 nyawa selain memaksa 1.4 juta orang meninggalkan kediaman mereka bagi menyelamatkan diri.
Selasa lalu, parti pembangkang di Burkina Faso menggesa supaya tindakan drastik diambil bagi menangani dan mengawal keadaan ekoran serangan kumpulan pengganas. – AFP, 13 November, 2021.
Komen