Kes Covid-19 remaja sudah divaksin turun 8 kali ganda, kata pakar data KKM


Setakat semalam, kadar vaksinasi remaja di Malaysia adalah 79.3%, menurut laman web KKM, CovidNow. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2021.

MALAYSIA dijangka melengkapkan proses vaksinasi Covid-19 untuk populasi remaja dua hari lagi, pada 15 November, langkah “mustahak” kerana sekolah bakal dibuka semula sepenuhnya, kata pakar data Kementerian Kesihatan.

Dr Mahesg Appannan berkata proses vaksinasi untuk remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun jelas terbukti berkesan apabila data menunjukkan kes Covid-19 melibatkan kumpulan usia itu berkurangan lapan kali ganda.

“Lebih penting, kesan kepantasan vaksinasi remaja sangat jelas dalam data epidemik.

“Umumnya kes jatuh (sekitar 3-5x (ganda) di semua kumpulan umur), tetapi ia berkurangan lebih 8x (ganda) untuk kumpulan 12-17 tahun, yang kita sedang vaksinkan.

“Perlindungan ini mustahak kerana sekolah mula dibuka,” katanya di Twitter.

Ketua Data di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) juga berkata program vaksinasi remaja di negara ini berlaku dengan sangat pantas.

“Dalam hanya 2 bulan (program vaksinasi remaja bermula pada awal September), hampir 80% remaja sudah diberikan 2 dos.

“Kami menjangkakan akan mencapai sasaran 80% dalam beberapa hari lagi,” tambah Dr Mahesh yang juga ketua penolong pengarah kanan Bahagian Pusat Kawalan Penyakit CPRC.

Setakat semalam, kadar vaksinasi remaja di Malaysia adalah 79.3%, menurut laman web KKM, CovidNow.

Jumlah keseluruhan populasi Malaysia yang sudah lengkap divaksin berada pada kadar 75.9%. – 13 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen