AMERIKA Syarikat dan Eropah pada Jumaat mengecam penamaan majlis pemerintah baharu oleh pemimpin tentera Sudan dan mendesak pelantikan semula perdana menteri awam yang disingkirkan.
Jeneral Abdel Fattah al-Burhan pada 25 Oktober lalu membubarkan kerajaan diketuai Abdalla Hamdok, dan pada Khamis menamakan majlis peralihan kuasa baharu yang tidak melibatkan blok pemimpin yang mendesak peralihan kuasa kepada pemerintahan awam.
Dalam satu kenyataan bersama, AS, Kesatuan Eropah, Britain, Norway dan Switzerland berkata mereka “sangat bimbang” dengan tindakan itu.
“Ia bertentangan dengan aspirasi rakyat Sudan dan kestabilan politik dan ekonomi negara,” katanya.
“Kami dengan keras mendesak langkah selanjutnya diambil dan sekali lagi pelantikan serta merta Perdana Menteri Hamdok dan kerajaan peralihan diketuai orang awam.”
Mereka juga mendesak pihak tentera “untuk menghormati hak rakyat Sudan untuk bebas meluahkan pandangan mereka” menjelang satu lagi tunjuk perasaan dirancang diadakan pada Sabtu.
Sudah berdepan situasi tidak stabil sejak 2009 apabila tunjuk perasaan rakyat menjatuhkan diktator Omar al-Bashir, dengan pemerintahan gabungan tentera dan awam diwujudkan menjelang pilihan raya dijadualkan berlaku pada 2024.
AS serta merta meningkatkan tekanan, menggantung pakej sokongan ekonomi berjumlah AS$700 juta yang sepatutnya membantu negara itu dalam peralihan demokratiknya.
Pegawai AS memuji tentera kerana tidak bertindak ganas pada protes sebelum ini tetapi bimbang Burhan akan cuba melantik dirinya sendiri berbanding melantik semula Hamdok. – AFP, 13 November, 2021.
Komen