Jabatan Kehakiman AS dakwa bekas penasihat Trump


Steve Bannon (kanan), bekas penasihat Donald Trump (kiri) didakwa kerana enggan memberi keterangan dalam siasatan Kongres berkaitan rusuhan di Capitol tahun lepas. – Gambar AFP, 13 November, 2021.

STEVE Bannon, bekas penasihat kepada bekas presiden AS Donald Trump didakwa pada Jumaat kerana enggan memberi keterangan kepada jawatankuasa siasatan kongres berkaitan rusuhan di Capitol, umum Jabatan Kehakiman.

Bannon, yang disyaki penyiasat mungkin mempunyai maklumat mengaitkan White House dengan penyokong Trump yang menyerbu masuk Capitol, didakwa dengan dua tuduhan menghina kerana mengabaikan sepina untuk hadir memberi keterangan dan gagal memberi dokumen berkaitan diminta jawatankuasa.

Jawatan Pilihan Dewan untuk Siasatan Serangan 6 Januari mengeluarkan sepina kepada Bannon, 67, pada 23 September. Dia adalah antara berbelas orang yang dipanggil memberi keterangan berkaitan rusuhan ganas yang menyebabkan Capitol ditutup ketika ia bersidang mengesahkan kemenangan Joe Biden ke atas Trump dua bulan sebelum itu.

Jawatankuasa berkata ia mempunyai sebab untuk mempercayai yang Bannon mempunyai “maklumat relevan bagi memahami aktiviti utama yang membawa dan menyebabkan kejadian (rusuhan) di Capitol.”

Jawatankuasa merujuk kepada kenyataan dikeluarkannya dalam usaha menyekat sesi pengesahan Dewan pada hari sebelum rusuhan, apabila dia berkata: “Semua akan bertukar buruk esok.”

Selepas Trump menggunakan keistimewaan eksekutif bagi menghalang pembantunya memberi keterangan dan jawatankuasa mendapatkan dokumen pentadbirannya, Bannon berkata dia tidak akan memberi keterangan sehingga semua pertikaian tentang keistimewaan eksekutif diselesaikan.

Dewan kemudian mengundi untuk membawa dakwaan menghina Kongres kepada Jabatan Kehakiman. Setiap pertuduhan membawa hukuman penjara sebulan sehingga setahun.

Disebabkan kes ini bersifat politik, tidak jelas samada Jabatan Kehakiman akan bertindak, sehinggalah semalam apabila pertuduhan dikeluarkan. – AFP, 13 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen