Bos di Portugal dilarang hantar mesej, emel lepas waktu kerja


Menerusi undang-undang baharu Portugal, majikan tidak dibenarkan hantar teks pesanan atau emel kepada pekerja di luar waktu kerja. – Gambar EPA, 13 November, 2021.

PORTUGAL melarang majikan menghantar teks pesanan dan emel kepada pekerja di luar waktu kerja, sebagai sebahagian daripada undang-undang baharu yang digelar “hak untuk berehat”.

Langkah itu sebahagian daripada perubahan yang diperkenalkan bagi meningkatkan keseimbangan kerja-kehidupan dalam respons kepada amalan bekerja dari rumah di negara itu, lapor BBC.

Menurut laporan itu, syarikat yang mempunyai lebih 10 kakitangan boleh dikenakan denda jika mereka menghubungi staf di luar waktu bekerja.

Peraturan baharu diperkenalkan juga membolehkan kakitangan yang mempunyai anak bekerja dari rumah.

BBC melaporkan ibu bapa dibenarkan bekerja di rumah tanpa perlu mendapatkan kebenaran terlebih dulu daripada majikan, hingga anak mereka berusia lapan tahun.

Syarikat juga perlu melakukan bayaran tambahan kepada kakitangan yang bekerja dari rumah berikutan bil isi rumah meningkat bagi elektrik dan kos internet.

Bagi mengatasi masalah rasa terasing pekerja bekerja dari rumah, syarikat diminta mengadakan mesyuarat secara persidangan video yang lebih kerap.

Bagaimanapun, Parlimen Portugal tidak meluluskan beberapa elemen dalam undang-undang baharu itu, termasuk hak pekerja untuk terus tidak dapat dihubungi di luar waktu kerja.

Menteri Buruh dan Keselamatan Sosial Portugal Ana Mendes Godinho dipetik sebagai berkata perlindungan buruh yang diperkasakan itu diharap dapat menarik lebih ramai warga asing ke negara itu. – 13 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen