MAHKAMAH juta Myanmar semalam menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun terhadap seorang wartawan warga Amerika Syarikat (AS) atas pertuduhan mencetuskan hasutan terhadap tentera dan melanggar peraturan visa, kata majikannya dan peguam.
Washington mengecam hukuman itu sebagai tidak adil.
Tentera Myanmar menekan dan menindas media sejak mengambil alih negara itu pada Februari menerusi rampasan kuasa, menahan berpuluh-puluh wartawan yang mengkritik juta, membunuh lebih 1,200 orang awam, menurut kumpulan pemantau tempatan.
Danny Fenster yang bekerja sebagai wartawan di media tempatan Frontier Myanmar, ditahan pada Mei ketika cuba keluar dari negara itu untuk bertemu keluarganya.
Beliau dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun, kata peguamnya Than Zaw Aung.
Anak guamnya masih belum memutuskan sama ada akan failkan rayuan atau tidak, katanya.
Di Washington, jurucakap Jabatan Dalam Negeri berkata hukuman itu sabitan yang tidak adil terhadap individu tidak bersalah dan berkata AS akan terus berusaha membebaskan Fenster serta merta.
Fenster, yang ditahan di penjara Insein di Yangon, turut berdepan tuduhan kes hasutan dan keganasan, yang boleh menyebabkan beliau dipenjarakan seumur hidup. – AFP, 13 November, 2021.
Komen