BELANDA negara pertama dari blok Eropah yang melaksanakan perintah berkurung baharu, susulan negara Eropah merekodkan peningkatan mendadak kes Covid-19.
Perintah berkurung tiga minggu yang diumumkan Perdana Menteri Mark Rutte menyasarkan restoran, premis kedai dan acara sukan bagi membendung serta mengawal penularan wabak terbabit.
Beliau berkata langkah drastik perlu diambil selama beberapa minggu bagi menangani krisis itu kerana wabak kini berada di seluruh negara, membabitkan semua sektor tanpa mengira usia.
Katanya, sejak beberapa kawalan pergerakan dimansuhkan dua bulan lalu, 16,000 kes positif direkodkan pada Khamis dan Jumaat.
“Kita amat beruntung kerana majoriti rakyat sudah divaksin. Jika tidak, kesan terhadap sistem kesihatan tidak dapat dibayangkan,” katanya.
Berdasarkan perintah itu, bar, restoran, kafe dan pasar raya diarahkan menghentikan operasi bermula 8 malam sepanjang tempoh tiga minggu itu manakala kedai bukan keperluan penting ditutup 6 petang.
Pelawat di rumah pula dihadkan kepada empat orang manakala rakyat dinasihatkan bekerja dari rumah kecuali ada keperluan mendesak.
Acara awam turut dibatalkan manakala perlawanan bola sepak antara Belanda dan Norway bagi kelayakan Piala Dunia diadakan secara tertutup tetapi sekolah dibenarkan beroperasi.
Di Austria, kerajaannya mahu melaksanakan perintah berkurung terhadap rakyat yang belum menerima vaksin atau mereka yang sedang pulih daripada jangkitan.
Bagaimanapun beberapa negeri termasuk Salzburg yang merekodkan kadar kes terburuk sudah melaksanakan perintah berkurung terhadap mereka yang belum divaksin mulai Isnin lalu.
Pusat Kawalan Penyakit Eropah menerusi penilaian risiko mingguannya menyenaraikan Belgium, Bulgaria, Croatia, Republik Czech, Estonia, Greece, Hungary, Belanda, Poland dan Slovenia sebagai negara dalam kategori membimbangkan akibat penularan Covid-19. – AFP, 13 November, 2021.
Komen