BEBERAPA negara Eropah terpaksa menguatkuasakan semula perintah sekatan bagi mengawal penularan kes Covid-19 yang semakin membimbangkan.
Ini susulan jumlah kes positif mingguan direkodkan di seluruh Eropah menunjukkan peningkatan mendadak sejak bulan lalu dan kini berada pada kadar membimbangkan sejak pandemik itu melanda.
Dalam tempoh tujuh hari lalu, 2,125,775 kes jangkitan direkodkan dengan purata 303,682 kes sehari.
Jumlah itu memecahkan rekod 1,988,507 kes dicatatkan dalam tempoh sama iaitu antara 2 hingga 8 November tahun lalu, dengan angka terbaru itu mewakili 13% peningkatan berbanding minggu lalu.
Sebanyak lima negara iaitu Britain, Rusia, Turki, Jerman dan Ukraine merekodkan peningkatan kes lebih 50%.
Berbanding pada awal tahun lalu ketika Covid-19 mula menular, kini lebih banyak ujian saringan dilakukan.
Angka keseluruhan kes positif itu bagaimanapun diimbangi dengan proses vaksinasi serta langkah kesihatan sosial.
Pakar epidemiologi universiti ULB di Brussels Yves Coppieters yang mengambil contoh di Britain, berkata walaupun kes Covid-19 meningkat, kadar vaksinasi yang tinggi membantu mengurangkan jumlah pesakit dimasukkan ke hospital.
Malah, Sepanyol dan Portugal yang mencatatkan kadar vaksinasi tinggi serta Itali yang melaksanakan langkah drastik menyaksikan kesan akibat wabak itu tidak begitu ketara.
Bagi kebanyakan negara Eropah, misi utama adalah memastikan lebih ramai rakyatnya divaksinasi.
Perancis baru-baru ini mengumumkan individu lebih 65 tahun wajib menerima dos penggalak.
Beberapa negara lain turut melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan.
Russia pula akan membentangkan dua rang undang-undang di Parlimen bagi mewajibkan pas kesihatan bagi memasuki restoran serta menaiki pengangkutan awam. – AFP, 13 November, 2021.
Komen