-2.jpg)
MUHYIDDIN Yassin mungkin sudah lupa, bahawa sewaktu Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, jumlah kerosakan begitu besar daripada yang dijangka sehinggakan beberapa item manifesto terpaksa disuai, ditangguh atau dibatalkan sama sekali.
Oleh kerana cabaran ini Tun meminta sedikit kelonggaran untuk pelaksanaannya, jangan terlalu tegar kerana manifesto bukan kitab suci.
Namun begitu, pentadbiran Tun tetap mewujudkan Jawatankuasa Manifesto bagi memastikan apa yang dijanjikan dapat dilaksanakan.
Oleh kerana itu beberapa janji manifesto ini sudahpun terlaksana seperti hapus GST, KWSP untuk Suri Rumah dan Skim Peduli Sihat telah pun terlaksana.
Hampir 53 janji manifesto telah ditunaikan. Malahan terdapat beberapa janji seperti Akta Pendanaan Politik dan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dijadualkan untuk dibentangkan, namun tidak kesampaian kerana kerajaan ditumbangkan oleh tangan Tan Sri Sendiri.
Berlaku adillah; dalam 22 bulan banyak janji yang dilaksanakan, sedangkan mereka yang mentadbir kerajaan berpuluh tahun seperti BN tidak mampu lakukan perkara yang sama.
Ingin saya ingatkan juga manifesto yang dicanang itu disediakan oleh mereka yang bersama Muhyiddin hari ini.
Janji-janji manis ini ditulis dan dibukukan oleh Wan Saiful Wan Jan sendiri, Ketua Penerangan Parti Bersatu hari ini.
Sudahlah bermain rentak politik lama, menunding jari pada yang lain sedang diri sendiri tidak seelok mana. Ibarat meludah ke langit akhirnya jatuh ke muka sendiri. – 12 November, 2021.
* Ulya Aqamah Husamudin, Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen