Calon KM Melaka Perikatan adalah dari Bersatu, kata Muhyiddin 


Elill Easwaran

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin pada sidang media yang diadakan di Bemban, Melaka hari ini.– Gambar The Malaysian Inisght oleh Afif Abd Halim, 12 November, 2021.

CALON ketua menteri Melaka Perikatan Nasional adalah daripada Bersatu, kata pengerusi gabungan itu Muhyiddin Yassin hari ini. 

“Memandangkan Bersatu mempunyai jumlah calon paling ramai dalam gabungan PN, jawatan ketua menteri akan diberi kepada calon Bersatu,” katanya pada sidang media di Bemban, Melaka. 

Bagaimanapun Muhyiddin yang juga presiden Bersatu, enggan menamakan calon yang dimaksudkan.

Beliau juga berkata akan memanggil 28 calon Perikatan malam ini untuk berikrar memerangi rasuah.

“Kita mahukan kerajaan yang bersih. Saya akan pastikan semua calon saya menentang rasuah,” katanya.

Pakatan Harapan menamakan bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari sebagai calon ketua menteri pilihan sekiranya menang pilihan raya negeri.

Manakala Barisan Nasional menamakan bekas ketua menteri Sulaiman Md Ali sebagai calon ketua menteri.

Daripada 28 kerusi yang ditandingi Perikatan, Bersatu bertanding 15 kerusi, PAS lapan kerusi dan Gerakan lima.

Perikatan bertembung dalam pertandingan menentang sekutunya di peringkat persekutuan BN dan pakatan pembangkang PH di semua 28 kerusi.

Parti Perikatan India Muslim Nasional akan bertanding satu kerusi dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), yang diterajui Ibrahim Ali, bertanding di lima kerusi.

22 calon bebas akan bertanding pada pilihan raya negeri pada 20 November ini.– 12 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen