Lebih 266,000 penduduk Sarawak terima suntikan dos ketiga


Desmond Davidson

Lebih 266,000 penduduk di Sarawak menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 semalam.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2021.

LEBIH 266,000 penduduk di Sarawak, daripada  2,078,243 yang melengkapkan vaksin, menerima suntikan dos ketiga vaksin Covid-19 semalam, sejak kempen itu bermula 13 Oktober lalu, menurut jawatankuasa pengurusan bencana negeri.

Angka yang tepat adalah 266,435.

Jawatankuasa bencana sekali lagi mengingatkan mereka dalam kumpulan sasar utama pada fasa pertama kempen dos ketiga - mereka yang berumur 60 tahun ke atas, dengan komorbiditi dan petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak - boleh terus ke mana-mana Pusat Pemberian Vaksin swasta tanpa temu janji untuk mendapatkan suntikan dos penggalak mereka.

Jawatankuasa itu juga mengingatkan mereka yang menerima dos kedua Sinovac lebih daripada tiga bulan lalu, atau menerima Pfizer lebih daripada 6 bulan, boleh mengambil suntikan penggalak.

Hari ini juga, Jabatan Kesihatan negeri telah memberitahu Ahli Parlimen Bukit Assek Irene Chang, bahawa vaksin Pfizer BioNtech digunakan sebagai suntikan penggalak di Sarawak walaupun kepada mereka yang telah divaksin dengan Sinovac sebagai dasar semasa Kementerian Kesihatan.

Timbalan Pengarah Kesihatan negeri Dr Rosemawati Ariffin, menjawab pertanyaan Chang dua hari lalu mengapa vaksin penggalak Sinovac boleh didapati di Sabah tetapi tidak di Sarawak, berkata dos penggalak buatan China hanya akan diberikan apabila penerima menunjukkan kontraindikasi - satu gejala atau keadaan yang menjadikan rawatan atau prosedur tertentu tidak digalakkan – atau mengalami alahan daripada vaksin Pfizer.

Ahli Parlimen DAP yang mewakili majoriti pengundi Cina di bandar Sibu berkata ramai di negeri itu yang telah mendapat vaksin Sinovac keberatan dan sangat bimbang tentang dasar kempen ‘campur’ dos penggalak.

Beliau mendakwa memandangkan 77.7% penduduk di negeri ini telah divaksin dengan Sinovac dan bukannya Pfizer, dos penggalak Sinovac sepatutnya disediakan.

Chang juga menegaskan tidak kira berapa banyak data kerajaan menunjukkan betapa selamatnya dos campuran, masih ada orang yang tidak yakin.

Beliau berkata dengan pilihan raya negeri semakin hampir, adalah tidak bertanggungjawab bagi kerajaan untuk tidak menyediakan Sinovac, serta semua dos penggalak lain yang diluluskan. – 12 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen