SEORANG wartawan Amerika Syarikat yang ditahan di Myanmar sejak Mei lalu dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun atas dakwaan pergaulan yang menyalahi undang-undang, hasutan terhadap tentera dan melanggar peraturan visa, kata majikannya.
“Frontier Myanmar amat kecewa dengan keputusan hari ini untuk mensabitkan Pengarang Urusannya, Danny Fenster, atas tiga pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara selama 11 tahun,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Fenster, yang ditangkap ketika cuba meninggalkan negara itu pada Mei, turut berdepan tuduhan menghasut dan keganasan, yang boleh menyebabkan dia dipenjarakan seumur hidup.
Lelaki berusia 37 tahun itu telah bekerja untuk Frontier Myanmar selama kira-kira setahun dan dalam perjalanan pulang untuk menemui keluarganya apabila dia ditahan.
Dia kemudiannya didakwa menghasut terhadap tentera, melanggar peraturan visa, dan pergaulan yang menyalahi undang-undang, dan dijatuhkan hukuman pada perbicaraan tertutup di penjara Insein Yangon.
“Semua orang di Frontier kesal dan kecewa dengan keputusan ini,” kata Frontier Myanmar.
“Kami hanya mahu melihat Danny dibebaskan secepat mungkin supaya dia boleh pulang ke pangkuan keluarganya.”
Penasihat kanan Kumpulan Krisis Myanmar Richard Horsey menyifatkan hukuman itu sebagai “keterlaluan”.
“Ia memberi mesej bukan sahaja kepada wartawan antarabangsa… tetapi juga wartawan Myanmar bahawa melaporkan secara fakta mengenai situasi itu boleh menyebabkan mereka dipenjarakan selama bertahun-tahun,” katanya kepada AFP.
Myanmar mula bergolak sejak rampasan kuasa pada Februari, dengan tentera cuba menghancurkan protes demokrasi dan menghapuskan perbezaan pendapat.
Lebih 1,200 orang telah dibunuh oleh pasukan keselamatan, menurut kumpulan pemantau tempatan.
Media turut menerima tekanan kerana junta cuba mengetatkan kawalan ke atas aliran maklumat, menyekat akses internet dan membatalkan lesen media tempatan. – AFP, 12 November, 2021.
Komen