NEGARA Eropah dan Amerika Syarikat (AS) mengecam Belarus susulan krisis yang menyebabkan ratusan pelarian terperangkap di kawasan sempadan berhampiran Poland.
Pendirian itu dimaklumkan selepas mesyuarat tergempar di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berhubung ketegangan yang masih meruncing antara Minsk dan Kesatuan Eropah (EU).
Presiden Rusia Vladimir Putih menggesa EU memulakan rundingan dengan Belarus mengenai kira-kira 2,000 pelarian, kebanyakannya etnik Kurd dari Asia Barat yang tinggal dalam khemah di sempadan Belarus-Poland, dalam cuaca sejuk.
Poland setakat ini enggan membenarkan pelarian merentasi sempadan selain mendakwa Minsk mendalangi krisis kemanusiaan yang membawa mereka ke Belarus untuk dihantar ke kawasan sempadan sebagai membalas sekatan yang dikenakan.
Selepas mesyuarat tergempar di UNSC mengenai krisis itu, delegasi Eropah dan AS mengutuk tindakan Belarus yang memperalatkan dan membahayakan nyawa manusia serta kebajikan mereka demi agenda politik.
Menerusi kenyataan bersama, Minsk ketika ini cuba mencetuskan ketidakstabilan terhadap negara jiran dan sempadan luar EU, selain mengalihkan tumpuan daripada isu percanggahan hak asasi manusia yang berlaku di negara berkenaan.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak memetik sekutu Belarus iaitu Rusia, yang sebelum mesyuarat tergempar diadakan menafikan dakwaan negara Barat pihaknya bekerjasama dengan Minsk untuk menghantar pelarian terbabit masuk ke Poland menerusi timur sempadan EU.
Menerusi perbualan telefon kedua bersama Canselor Jerman Angela Merkel, Putin sekali lagi menyatakan kesediaan untuk membantu mewujudkan perhubungan antara negara EU dan Belarus bagi merungkai masalah berkenaan.
EU setakat ini menolak sebarang perhubungan langsung bersama Presiden Belarus Alexander Lukashenko, yang semalam memberi amaran Minsk akan memotong transit gas asli ke Eropah jika sekatan baharu dikenakan.
EU memutuskan hubungan dengan Lukashenko dan mengenakan sekatan selepas rejim itu bertindak keras terhadap pembangkang selepas pilihan raya presiden yang penuh kontroversi tahun lalu. – AFP, 12 November, 2021.
Komen