Pilihan untuk rakyat Melaka


DEWAN Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu setelah ketua menteri daripada Umno Sulaiman Md Ali hilang keyakinan majoriti Adun dengan penarikan sokongan empat Adun, dua daripadanya wakil rakyat Umno.

Akibatnya, dua Adun Umno ini dipecat daripada Umno. Penarikan sokongan mereka ini adalah tanpa melompat parti dan ia berbeza dengan apa yang berlaku ketika Langkah Sheraton.

Kehilangan sokongan ini berpunca daripada krisis skandal konsesi pasir di negeri Melaka. Bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari sebelum ini juga pada sidang DUN Melaka membangkitkan isu penjualan tanah tambakan laut projek Melaka Gateway kepada sebuah syarikat asing.

Bertitik tolak daripada skandal korup yang merugikan rakyat Melaka ini, Pakatan Harapan (PH) mula mendapat sokongan majoriti Adun Melaka untuk membentuk kerajaan semula demi menyelamatkan Melaka.

Namun, Umno tidak dapat menerima kehilangan kuasa ini dan mendapatkan perkenan Yang Di-Pertua Negeri Melaka (TYT) untuk membubarkan DUN Melaka menurut Perkara 19(2) Undang-undang Tubuh Negeri Melaka (Perlembagaan Melaka). 

Walaupun PH mempunyai sokongan majoriti Adun untuk membentuk kerajaan, namun tindakan Umno yang memohon perkenan TYT untuk pembubaran DUN, jelas bertentangan dengan tindakan Umno merampas kerajaan mandat rakyat daripada PH pada Mac 2020 lalu.

Apabila seorang ketua menteri hilang sokongan majoriti, apakah yang terjadi?

Ketua menteri yang kehilangan sokongan  majoriti Adun, mempunyai pilihan bawah Perkara 7(4) Perlembagaan Melaka sama ada meletakkan jawatan sebagai ketua menteri atau memohon perkenan TYT untuk pembubaran DUN.

Permohonan pembubaran DUN ini yang membawa kepada pilihanraya negeri Melaka ini jelas menunjukkan Umno hanya mementingkan kuasa dan sanggup mempertaruhkan keselamatan rakyat yang masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

Umno sebenarnya tiada prinsip dan “flip-flop” kerana enggan menyerahkan pentadbiran negeri kepada PH.

Namun, demi menjaga kepentingan rakyat Melaka supaya tidak diheret sama ke dalam konflik politik ini, Adly Zahari mewakili PH memfailkan satu kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu melalui permohonan semakan kehakiman bagi mencabar kesahihan pembubaran DUN Melaka dan menangguhkan pilihan raya atas alasan tidak rasional diadakan ketika ini.

Lagipun, MoU di peringkat persekutuan telah membekukan pilihan raya sehingga Julai 2022. Namun, seperti biasa, Umno tidak menghormati MoU yang dibuatnya sendiri.

Inilah sikap Umno yang selama ini memang mudah lupa pada janji dan budi, ibarat kisah dongeng sang buaya dan sang kerbau.

Berbalik kepada kes mahkamah tersebut, persoalan undang-undang utama yang perlu diputuskan mahkamah adalah sama ada TYT boleh membubarkan DUN berdasarkan alasan pembubaran biasa (cukup penggal) di bawah Perkara 19(2) Perlembagaan Melaka atas nasihat ketua menteri yang hilang sokongan majoriti di DUN.

Permohonan kebenaran ini didengar pada 8 November di mana di peringkat ini, Adly Zahari perlu menunjukkan wujudnya satu kes untuk dibicarakan untuk membolehkan merit penuh kes didengar mahkamah.

Bagaimanapun, pada 10 November mahkamah menolak permohonan kebenaran ini dan mendapati tidak wujud kes yang boleh didengar mahkamah (non-justiciable).

Ini kerana pembubaran DUN adalah budi bicara TYT yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan. Keputusan ini diterima dan tiada rayuan.

Mungkinkah suatu hari, mahkamah di Malaysia akan mengikut keputusan satu kes di UK (Miller v Prime Minister) yang mana mahkamah berpendapat mempunyai kuasa untuk menyemak semula tindakan seorang ketua negeri, sama ada sudah membuat keputusan berdasarkan asas perlembagaan atau dalam erti kata lain sama ada budi bicara itu bersifat mutlak atau dipandu.

Sehingga ke waktu itu yang belum tiba, apa seterusnya buat rakyat Melaka?

Maka, untuk waktu ini, rakyat Melaka terpaksa menerima keputusan untuk diadakan pilihan raya ini. Pilihan raya yang diadakan berdasarkan peruntukan 19(2) Perlembagaan Melaka ini adalah proses pilihan raya biasa (cukup penggal) dan kerajaan yang akan dipilih kelak akan kekal untuk satu penggal (lima tahun).

Tarikh 20 November ini bukan pilihan raya sekadar memilih seorang ketua menteri baru atau memilih kerajaan untuk tempoh setahun saja. Ia proses demokrasi bagi memberikan hak kepada rakyat menentukan masa depan negeri tercinta ini untuk tempoh lima tahun mendatang.

Maknanya, jika pilihan raya umum diadakan di seluruh negara tahun depan, tidak akan diadakan lagi pilihan raya di peringkat negeri Melaka.

Pilihan raya ini bukan pilihan PH, tetapi PH perlu berdepan dalam pilihan raya ini demi satu tujuan “Selamatkan Melaka”.

Lantaran itu, PH meletakkan semula Adly Zahari sebagai calon ketua menteri Melaka bagi meneruskan kecemerlangan pentadbiran beliau sebelum ini.

Pentadbiran berteraskan prinsip integriti, dasar mengangkat kebajikan rakyat dan sokongan polisi memajukan Melaka menjadi sandaran pilihan rakyat Melaka.

Justeru, bagi meneruskan kecemerlangan pentadbiran PH di Melaka, manifesto PH dilancarkan yang berpandukan kepada tiga teras iaitu kesihatan dan kebajikan rakyat, pembangunan ekonomi negeri Melaka dan kestabilan politik di dalam pentadbiran kerajaan negeri Melaka.

Antara pelan tindakan PH yang menarik adalah skim peluang pekerjaan oleh PBT dan GLC Melaka, Kad Melaka Sihat sebanyak RM300 setahun kepada keluarga layak, bantuan khas kepada golongan sasar kanak-kanak, pelajar, warga emas dan ibu atau bapa tunggal, skim internet Melaka, skim mikrokredit untuk peniaga kecil, penggubalan enakmen antilompat parti dan banyak lagi.

Buat rakyat Melaka, pilihlah dengan bijak demi masa depan anda dan keluarga. Memilih kerajaan kali ini bukan seperti memilih gerai coconut shake yang boleh dicuba-cuba.

Pilihan yang ada cukup mudah dibuat iaitu berpandukan kepada track record masing-masing. PH, BN (Umno) dan PN (Bersatu/PAS) juga sudah memberikan tawaran manifesto masing-masing.

Gunakan kuasa keramat di tangan anda. Pilihlah yang sudah terbukti “walk the talk”. – 12 November, 2021.

* Faiz Fadzil ialah ahhli Jawatankuasa Amanah Nasional.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen