BEKAS presiden Afrika Selatan berkulit putih dan yang terakhir pada zaman apartheid, FW de Klerk dilaporkan meninggal dunia semalam pada usia 85 tahun.
Mendiang adalah pemimpin yang memacu kemajuan negara ke arah demokrasi, namun tidak pernah memperakui kisah ngeri di sebalik tragedy aparteid yang menyaksikan penduduk majoriti kulit hitam itu ditindas.
De Klerk meninggal dunia kerana kanser, kata yayasannya menerusi satu kenyataan.
De Klerk membebaskan Nelson Mandela dari penjara, menarik balik pengharaman parti politik dan berkongsi Anugerah Keamanan Nobel bersama ikon anti-apartheid itu.
Namun, mendiang bagaikan tersisih selepas Afrika Selatan mencapai demokrasi dan diibaratkan sebagai pemohon maaf bagi siri pembunuhan dan penyeksaan dilakukan rejim perkauman itu.
Kenyataan beliau sebelum ini dituntut dalam beberapa kes bagi merungkai kebenaran di sebalik kekejaman dilakukan kerajaan apartheid.
Bagaimanapun, yayasan de Klerk kemudian mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka menerusi sebuah rakaman video sejurus selepas kematiannya.
“Secara telus, saya meminta maaf terhadap kesengsaraan, kesakitan, kerosakan dan pencabulan maruah di bawah apartheid terhadap rakyat kulit hitam, perang dan kaum India di Afrika Selatan,” katanya.
Yayasan Nelson Mandela pula menyingkap sentimen pelbagai pihak dengan berkata:“Legasi de Klerk amat besar, juga tidak seimbang, sesuatu yang warga Afrika Selatan terpaksa akui pada detik ini”.
De Klerk sebelum ini tampil ketika dipanggil Suruhanjaya Perdamaian dan Kebenaran, yang merungkai kekejaman didalangi rejim golongan kulit putih yang minoriti.
Bekas presiden itu tidak pernah mengemukakan permohonan maaf mewakili Parti Kebangsaan kepada orang ramai atas kejahatan rejim apartheid.
De Klerk mencetuskan kemarahan tahun lalu apabila beliau menafikan apartheid ialah jenayah terhadap kemanusiaan, meskipun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkannya sedemikian.
De Klerk dilantik sebagai ahli Parlimen mewakili Parti Kebangsaan yang bertanggungjawab memulakan apartheid.
Beliau memegang beberapa jawatan menteri sebelum dilantik presiden pada 1989, jawatan yang disandangnya sehingga diambil alih oleh Mandela selepas pilihan raya demokratik pertama pada 1994.
Butiran majlis pengebumian belum dikeluarkan, beliau meninggalkan seorang balu, Elita dan dua anak, Jan dan Susan selain cucu. – AFP, 12 November, 2021.
Komen