Israel adakan 'latihan perang' berdepan varian baharu Covid-19


Perdana Menteri Israel Naftali Bennett berkata simulasi latihan perang itu meliputi pelbagai aspek krisis, termasuk imunisasi besar-besaran dan perintah berkurung. – Gambar EPA, 12 November, 2021.

SELARAS dasar utamakan negara, Israel semalam mengadakan latihan perang bagi berdepan dengan kemungkinan penularan varian baharu Covid-19 yang berpotensi lebih tinggi menyebabkan kematian.

Pegawai tentera dan orang awam mengambil bahagian dalam latihan dipanggil Omega itu, dipercayai merujuk kepada varian baharu, di bangunan kalis letusan nuklear di Pusat Pengurusan Kebangsaan, dekat Baitulmaqdis.

Pejabat Perdana Menteri Naftali Bennett berkata simulasi itu antara lain meliputi pelbagai aspek krisis, termasuk inokulasi besar-besaran, penguatkuasaan perintah berkurung dan larangan operasi penerbangan.

“Israel dalam keadaan terbaik, kita berjaya mengatasi gelombang keempat dan kini dalam usaha menangani varian Delta.

“Tetapi, pada masa sama, kita sentiasa melihat ke hadapan… Kita tidak berhenti berjaga,” katanya.

Bennett ketika melawat pusat itu berkata ancaman terbesar adalah perkara yang tidak diketahui dan melanda pada masa depan.

“Ini mungkin berlaku pada skala lebih berbahaya dan mudah menjangkiti berbanding varian Delta, sehingga kalis vaksin serta muncul secara tiba-tiba.

“Bagi mewujudkan keadaan sebenar, latihan seumpamanya di dunia dianjurkan merangkumi tiga sesi untuk memberi gambaran perjalanan tempoh antara pelbagai keadaan,” katanya.

Israel negara pertama melancarkan kempen pemberian dos penggalak secara besar-besaran ketika pandemik Covid-19, dengan lebih 3.9 juta rakyatnya menerima suntikan ketiga sejak musim panas lalu.

Bagaimanapun, pada akhir Ogos dan awal September, jangkitan kes Covid-19 melonjak melebihi 10,000 kes sehari, sebelum menyusut kepada hanya tiga angka ketika ini.

Kira-kira 80% daripada sembilan juta penduduk Israel menerima dos lengkap vaksin Covid-19. – AFP, 12 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen