SEORANG pelajar universiti berusia 22 tahun yang terperangkap dalam penonton yang merempuh ke pentas pada konsert rap di Texas minggu lalu meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya, kata keluarga mangsa pada Khamis, menjadikan jumlah kematian akibat kejadian itu kepada sembilan orang.
Bharti Shahani, yang menghadiri konsert Travis Scott di Festival Astroworld bersama seorang kakak dan sepupu, koma dan menggunakan ventilator sejak tragedi pada Jumaat di Houston. Ratusan yang lain turut cedera.
“Saya mahu anak saya kembali,” kata ibunya yang menangis, Karishma Shahani kepada wartawan. “Saya tidak akan dapat hidup tanpa dia.”
“Saya rasa dia kehilangan oksigen selama 10 minit sekali dan tujuh minit pada masa lain,” kata sepupunya, Mohit Bellani, kepada stesen TV tempatan ABC13.
Kira-kira 50,000 orang penonton bersesak di tempat terbuka, menari dan menyanyi bersama-sama Scott tetapi mendapati diri mereka semakin dihimpit kepada penghalang, tidak dapat bergerak dan bernafas ketika orang ramai merempuh ke arah pentas.
Ada yang jatuh dan menimpa orang lain serta menghempap mangsa di bawah, dan kepadatan orang ramai untuk mendekati pentas menyukarkan kerja untuk mengangkat dan menyelamatkan mereka, kata peserta.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang dipijak kini dalam keadaan koma dan sedang bertarung nyawa.
Sekurang-kurangnya 60 tindakan undang-undang dibuat dengan menamakan Scott dan rakan penyanyi Drake, yang naik ke pentas dalam 15 minit terakhir konsert itu, selepas pihak berkuasa mengisytiharkan kecemasan. – AFP, 12 November, 2021.
Komen