TIDAK sanggup melihat bayi kelaparan, seorang lelaki di Batu Pahat, Johor mengambil keputusan menubuhkan pasukan sukarelawan sendiri bagi mengagihkan barangan makanan kepada keluarga yang memerlukan termasuk susu tepung untuk bayi.
Klaus Lim Chun, 33, yang baharu sahaja menjadi bapa adalah seorang kontraktor. Beliau mula mengagihkan bekalan untuk keluarga yang memerlukan ketika kemuncak kempen bendera putih pada Julai lalu.
Kempen bendera putih menggesa mereka yang memerlukan menaikkan bendera putih di luar rumah untuk memberitahu kepada yang mungkin boleh membantu. Gerakan itu kini berpindah secara dalam talian.
“Saya melihat beberapa keluarga hidup dalam keadaan menyedihkan. Di samping keadaan hidup yang miskin, satu keluarga yang mempunyai lima anak tidak mampu membeli susu untuk bayi mereka.
“Mereka memberi bayi air gula dan susu pekat,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Lim berkata walaupun orang dewasa boleh bertahan kelaparan, sukar bagi kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa dan akan menangis apabila lapar.
“Bayi tidak bersalah. Melihat apa yang berlaku, saya berbincang dengan abang saya, yang juga baharu sahaja menjadi bapa, dan kami memutuskan untuk bekerjasama dan mengedarkan susu tepung.”
Inisiatif yang dipanggil “Kempen Susu Bayi” beroperasi selama tiga bulan sekarang.
Semasa kemuncak wabak Covid-19, mereka menerima kira-kira 500 permintaan sebulan. Sehingga kini, mereka sudah membantu hampir 2,000 keluarga.
Lim berkata permintaan bantuan datang melalui pelbagai saluran. Beliau memeriksa setiap permintaan sebelum menghantar bekalan secara peribadi.
“Semasa kemuncaknya, ketika terdapat 20,000 kes Covid-19 setiap hari, tanpa mengira cuaca, saya menghantar barang-barang itu dengan peralatan perlindungan penuh. Selepas itu kami akan segera membasmi kuman sebelum pulang ke rumah.”
Lim kini mempunyai kira-kira 20 sukarelawan, yang kebanyakannya terdiri daripada mereka yang baharu menjadi ibu bapa.
Lim berkata pernah satu ketika sekurang-kurangnya RM30,000 bekalan diperlukan.

Tiada diskriminasi
Beliau bernasib baik kerana keluarga, kawan, rakan sekolah dan rakan kongsi perniagaannya menyokong usaha dilakukan.
“Selain menyediakan susu tepung, kami turut membantu mengumpul dana untuk kanak-kanak yang sakit. Terdapat seorang bayi yang menghidap kanser darah dan memerlukan lawatan berkala ke Kuala Lumpur tetapi bapanya hanya berpendapatan RM1,000 sebulan.
“Kami berjaya mengumpul sedikit dana untuk membantu keluarga itu.”
Lim berkata kira-kira 90% daripada keluarga yang dibantunya adalah Melayu, Orang Asli dan warga asing.
Beliau membantu sesiapa sahaja yang datang tanpa diskriminasi.
“Pekerja asing di sini selalunya tidak mampu dan memerlukan bantuan kami. Sebaik sahaja mereka menyambung kerja, mereka memberitahu kami agar berhenti memberikan bantuan dan berikannya kepada orang lain.”
Ketika pasukannya memberi tumpuan membantu di kawasan Batu Pahat, Lim berkata beliau turut menerima permintaan bantuan daripada orang ramai di Johor Baharu dan juga Kuala Lumpur.
Selepas memeriksan permintaan itu, Lim menghantar bekalan kepada mereka.
Usaha murninya itu menyebabkan beliau kini mendapat jolokan “Abang Susu” di kalangan penerima bantuan.
Kini, selepas banyak sektor ekonomi dibuka semula, Lim berkata jumlah permintaan yang masuk berkurangan dengan ketara tetapi beliau tiada rancangan untuk berhenti membantu mereka yang memerlukan.
“Kami akan terus memberi bantuan susu tepung yang disasarkan kepada bayi sakit dan keluarga miskin.”
Lim mewujudkan laman Facebook yang menerima lebih 4,000 tanda suka bagi pendokumentasian usahanya. – 12 November, 2021.
Komen