New Zealand lancar operasi banteras jenayah terancang


Operasi besar-besaran polis New Zealand membanteras jenayah terancang berjaya merampas lebih 50kg kokain, wang tunai 300,000 dolar New Zealand dan mata wang kripto. – Gambar EPA, 11 November, 2021.

OPERASI besar-besaran polis New Zealand membanteras jenayah terancang berjaya merampas lebih 50 kilogram (kg) kokain, wang tunai 300,000 dolar New Zealand (AS$211,389) dan mata wang kripto, serta menahan sembilan suspek, kata Menteri Kepolisan, Poto Williams pada Khamis.

“Operasi besar-besaran banteras jenayah dadah dan pengubahan wang haram hari ini telah menjadikan kawasan kita lebih selamat,” kata Williams dalam satu kenyataan, lapor Xinhua.

Beliau berkata New Zealand tidak akan bertolak ansur dengan kumpulan kongsi gelap dan jenayah terancang dan menempatkan lebih ramai anggota polis di barisan hadapan dengan tumpuan khusus terhadap jenayah terancang, kata Williams.

Tambahnya, kerajaan turut menyediakan peruntukan tambahan untuk polis bagi menjalankan 700 penyiasatan melibatkan jenayah terancang.

“Tindakan pencegahan berterusan dengan menangani penjualan dan pembekalan dadah terlarang dan aktiviti pengubahan wang haram yang serius akan menjadikan New Zealand lebih selamat kerana ia mengakibatkan banyak kemudaratan dalam komuniti kita,” katanya.

Operation Mist melibatkan 70 anggota polis dan kakitangan kastam New Zealand dan bekerjasama dengan Pentadbiran Penguatkuasaan Ubat-ubatanAmerika Syarikat, Polis Colombia, Perkhidmatan Kastam Sepanyol dan Perkhidmatan Kastam Cook Island, kata menteri itu. – Bernama, 11 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen