Perikatan umum calon ketua menteri selepas mengundi


Elill Easwaran

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan pada sidang media di bilik mesyuarat Bersatu di Hang Tuah, Melaka hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 11 November, 2021.

PERIKATAN Nasional akan mengumumkan calon ketua menteri hanya selepas keputusan pilihan raya keluar, kata Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan. 

“Perbincangan berhubung calon ketua menteri diadakan antara pemimpin PN namun pengumumannya hanya akan dibuat selepas mengundi,” katanya pada sidang media di bilik mesyuarat Bersatu Hang Tuah hari ini. 

Tambahnya manifesto gabungan itu bagi pilihan raya kali ini akan diumumkan dalam beberapa hari lagi. 

Wan Saiful juga berkata kini fokus utama mereka adalah untuk memastikan calon mampu mendekati pengundi dan menjelaskan rancangan mereka sekiranya menang. 

Beliau juga berkata PN akan mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan parti lain sekiranya gagal menang majoriti. 

“Kita harap tidak akan berdepan situasi itu kerana ia akan membuatkan kerajaan negeri tidak stabil,” katanya.

Semalam Pakatan Harapan mengumumkan bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari sebagai calon ketua menteri pilihan, sekiranya menang pada pilihan raya negeri. 

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat berdasarkan konsensus semua parti dalam gabungan. 

Sementara itu Barisan Nasional menamakan bekas ketua menteri Sulaiman Md Ali sebagai calon ketua menteri. 

PN, PH dan BN bertanding di semua 28 kerusi DUN, dengan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) bertanding satu kerusi dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang diterajui Ibrahim Ali bertanding di lima kerusi.

11 kerusi akan menyaksikan tiga calon di kertas undi, sembilan kerusi menyaksikan empat calon bertanding, lima kerusi ditandingi lima calon dan tiga kerusi ditandingi enam calon. 

22 calon bebas akan bertanding pada pilihan raya negeri yang akan berlangsung pada 20 November.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas empat Adun – Idris Haron (Sg Udang-BN), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor-BN), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu-Bebas) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-Bersatu) – menarik balik sokongan mereka kepada Sulaiman. – 11 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen