SELEPAS beberapa kali tertangguh, syarikat persendirian Elon Musk, SpaceX melancarkan empat angkasawan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada malam Rabu dalam misi “Crew-3”.
ISS kini cuma beroperasi dengan hanya seorang angkasawan Nasa di segmen Amerika Syarikat (AS) untuk mengalu-alukan krew yang akan sampai, selepas angkasawan misi Crew-2 sebelum ini mendarat di Teluk Mexico pada malam Ahad.
Crew-3 yang membawa Raja Chari, Kayla Barron dan Tom Marshburn dari Amerika Syarikat dan Matthias Maurer dari Jerman dilancarkan di atas kapsul Crew Dragon yang dipasang pada roket Falcon 9 pada pukul 9.03 malam waktu tempatan dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida. Pelancaran itu disambut tepukan di bilik kawalan SpaceX.
Kapal angkasa yang dipanggil Endurance, akan berlabuh pada ISS pada pukul 7.10 malam Khamis.
Nasa dan bekas angkasawan Bob Cabana menyifatkan pelancaran itu sebagai “hebat.”
“Saya fikir ia adalah masa yang menakjubkan untuk program angkasa lepas Amerika. Kita berada di titik perubahan,” tambahnya.
Pelancaran itu pada mulanya ditangguhkan dari 31 Oktober kerana cuaca, kemudian “isu perubatan kecil” yang menjejaskan salah seorang anak kapal. Nasa tidak menyatakan siapa namun berkata ia tidak ada kena mengena dengan Covid. – AFP, 11 November, 2021.
Komen