JPN akan siasat sama ada SOP dipatuhi dalam kes curi telefon bimbit 


Looi Sue-Chern

Pengerusi PIBG SMK Methodist Teoh Seang Hooi ketika melawat pelajar terbabit di Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya, hari ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2018. 

ADAKAH prosedur operasi standard dipatuhi oleh sekolah di Pulau Pinang selepas seorang pelajar dituduh mencuri telefon bimbit gurunya?

Itu yang akan dipastikan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang selepas isu berkenaan menyebabkan seorang pelajar Tingkatan Dua kini dalam kedaan kitikal di hospital selepas cuba membunuh diri. 

M. Vasanthapiriya, 13 tahun yang merupakan pelajar SMK Methodist Nibong Tebal, dituduh mencuri telefon bimbit milik gurunya. 

Selepas menafikan mencuri peranti berkenaan, Vasanthapiriya didakwa dipukul oleh salah seorang guru di sekolah berkenaan di hadapan pelajar lain. Dia kemudiannya didakwa dikurung di bilik guru selama hampir lima jam tanpa dibenarkan makan atau ke tandas.  

Selepas tamat waktu persekolahan, guru yang kehilangan telefon berkenaan dan suaminya mengancam untuk membawanya ke balai polis sekiranya tidak mengaku melakukan perbuatan itu. Dia kemudiannya dibawa pulang untuk berjumpa ibu bapanya. 

Timbalan pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Mohd Jamil Mohamed memberitahu The Malaysian Insight, sekiranya guru kehilangan sesuatu, dia perlu melaporkan kepada guru disiplin di sekolah terbabit. 

“Guru disiplin akan menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya benar seseorang pelajar melakukan kesalahan,” kata Mohd Jamil. 

Beliau bagaimanapun berkata, siasatan kini masih dijalankan dan “akan mengambil masa untuk memberikan keadilan kepada semua pihak”.

“Ini akan membolehkan kita mendapatkan maklumat tepat. Kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Apa sahaja tindakan kita ambil berdasarkan dapatan siasatan. 

“Memandangkan laporan polis juga sudah dibuat, kita akan menunggu hasil siasatan polis. 

“Kita juga memantau keadaan pelajar terbabit,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Vasanthapiriya dituduh mencuri telefon bimbit gurunya jenis iPhone 6 di sekolah berkenaan pada Rabu lalu. Dia dilaporkan disoal siasat oleh tiga guru, termasuk guru yang mendakwa telefonnya dicuri.

Selepas dibawa pulang oleh guru berkenaan dan suaminya di mana mereka turut berjumpa ibu bapanya, Vasanthapiriya menguncikan dirinya dalam bilik. 

Ibu bapanya pulang ke rumah pada malam itu. Vasanthapiriya tidak menjawab apabila dipanggil berulang kali, bapanya kemudian bertindak memecahkan pintu dan menemui pelajar berkenaan tergantung pada sehelai kain yang diikat pada batang paip. 

Dia masih hidup ketika ditemui ibu bapanya. Dia juga dilaporkan turut meninggalkan nota yang mengatakan dia tidak mencuri telefon guru berkenaan selain turut mengucapkan selamat tinggal kepada ibu bapa dan neneknya.

Vasanthapiriya berada dalam keadaan koma sejak kejadian itu. Dia kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya. 

Jamil berkata, guru terbabit kini ditukarkan ke Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Prai Selatan. 

Beliau turut menyatakan rasa simpati terhadap keluarga pelajar berkenaan di atas apa yang mereka lalui. 

“Saya sudah bercakap dengan ibu bapanya. Mereka sangat baik dan merupakan ibu bapa yang memahami. Saya sangat bersimpati dengan mereka.”

Ibu saudara Vasanthapiriya, K. Vinothani berkata, abangnya merupakan pengusaha katering dan kakak iparnya bekerja kilang, kini melalui waktu yang sukar. 

“Mereka berada di luar ICU. Mereka di sana setiap hari,” katanya kepada The Malaysian Insight hari ini. 

Pelajar berkenaan merupakan anak paling bongsu dalam keluarga dengan seorang kakak dan dua abang. 

“Dia merupakan anak yang periang dan sentiasa gembira. Dia suka membantu orang. Memandangkan dia paling muda dalam keluarga, semua menyayanginya,” kata Vinothani. 

Sementara itu, pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan Teoh Seang Hooi berkata, beliau berharap insiden berkenaan tidak dipublisitikan dan menambah apa yang penting kini adalah keadaan pelajar terbabit. 

SMK Methodist yang berusia 120 tahun, terletak di Nibong Tebal, mempunyai seramai lebih 460 pelajar. Majoritinya adalah pelajar India. – 29 Januari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen