China beri amaran ketegangan era Perang Dingin di Asia Pasifik


Presiden negara komunis China Xi Jinping hari ini memberi amaran rantau Asia Pasifik tidak boleh dan tidak sepatutnya kembali ke dalam konfrontasi dan perpecahan era Perang Dingin. – Gambar AFP, 11 November, 2021.

PRESIDEN negara komunis China Xi Jinping pada Khamis memberi amaran kemungkinan ketegangan era Perang Dingin di Asia Pasifik, menggesa kerjasama yang lebih utuh pulihkan pandemik dan iklim dunia.

Di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat dengan Amerika Syarikat mengenai Taiwan, sebahagiannya diimbangi oleh perjanjian mengejut antara Beijing dan Washington berkaitan iklim, Xi berkata semua negara di rantau itu perlu bekerjasama.

“Usaha untuk lakar garis ideologi atau bentuk kelompok kecil atas dasar geopolitik pasti akan gagal,” katanya pada persidangan perniagaan maya di luar sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik.

“Rantau Asia Pasifik tidak boleh dan tidak sepatutnya kembali ke dalam konfrontasi dan perpecahan era Perang Dingin.”

Pemimpin China itu menyeru usaha bersama untuk menutup “jurang imunisasi”, menjadikan vaksin Covid-19 lebih mudah diakses oleh negara membangun.

“Kita perlu terjemah konsensus yang vaksin adalah kebaikan global kepada tindakan konkrit untuk pastikan pengagihan yang adil dan saksama,” katanya kepada sidang kemuncak dihoskan New Zealand.

Xi berkata semua negara perlu pertingkat kerjasama dalam penyelidikan, pengeluaran, pengujian, dan pengiktirafan bersama vaksin, “untuk bangkit daripada bayang-bayang pandemik dan mencapai pemulihan ekonomi yang stabil lebih awal”.

China pada Rabu berkata ia telah mencapai persefahaman dengan Amerika Syarikat pada sidang kemuncak di Glasgow mengenai perubahan iklim, bidang utama di mana pentadbiran Biden melihat potensi kerjasama.

Xi tidak menyebut perjanjian AS secara langsung namun berkata “kita semua boleh mulakan jalan pembangunan mampan hijau dan rendah karbon”. – AFP, 11 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen