Berlin laksana sekatan ketat kepada individu tidak divaksin


Berlin bakal melaksanakan sekatan baharu yang lebih ketat terhadap individu tidak divaksin bagi mengekang penularan Covid-19. – Gambar EPA, 11 November, 2021.

BERLIN pada Isnin akan mula melaksanakan sekatan lebih ketat terhadap individu tidak divaksin dengan melarang akses ke tempat makan tertutup, bar, gim dan salon rambut dalam usaha membendung gelombang koronavirus.

Di bawah peraturan baharu di ibu negara Jerman itu, hanya individu divaksin lengkap dan mereka yang boleh menunjukkan bukti pulih daripada Covid-19 boleh memasuki kemudahan riadah dan senarai tempat terpilih lain—sistem yang dikenali sebagai “2G” di Jerman.

Tindakan itu dibuat susulan jumlah kes koronavirus yang semakin naik dan peningkatan tekanan ke atas unit rawatan rapi, kata senat Berlin dalam kenyataan akhbar pada petang Rabu.

Teater, muzium dan acara luar dengan lebih daripada 2,000 pelawat seperti sukan bola sepak akan dilarang kepada orang dewasa yang tidak divaksin.

Kanak-kanak bawah umur dan individu yang tidak boleh disuntik atas sebab kesihatan tidak akan terjejas oleh sekatan baharu, memadai dengan ujian negatif.

Syarikat juga digalakkan meminta pekerja bekerja dari rumah dan mengehadkan kehadiran pejabat kepada 50% kakitangan.

Langkah yang dipersetujui oleh senat Berlin itu adalah antara yang paling ketata di Jerman, yang dalam beberapa hari kebelakangan ini berulang kali memecahkan rekod jangkitan koronavirus bagi kes harian baharu.

Negara itu menambah hampir 40,000 kes pada Rabu, menurut Institut Robert Koch (RKI).

Lonjakan itu didakwa susulan kadar vaksinasi Jerman yang agak rendah, dengan hanya lebih 67% daripada populasi mendapat suntikan lengkap.

Sesetengah hospital mula menangguhkan pembedahan tidak mendesak sekali lagi untuk menjaga bilangan pesakit koronavirus yang semakin meningkat.

Di bawah sistem persekutuan Jerman, 16 negeri mempunyai kuasa untuk membentuk pendekatan koronavirus mereka sendiri, kadang-kala menyebabkan kekeliruan.

Negeri timur Saxony yang terjejas teruk memperkenalkan langkah “2G” lebih ketat pada awal minggu, manakala negeri lain termasuk Bavaria dan Baden-Wuerttemberg juga memperkenalkan sekatan lebih ketat terhadap individu tidak divaksin. – AFP, 11 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen