Adly Zahari calon ketua menteri Melaka Pakatan, kata Anwar


Noel Achariam Elill Easwaran

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari dicalonkan sebagai ketua menteri Melaka sekiranya gabungan pembangkang itu menang pilihan raya negeri, umum pengerusi PH Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 November, 2021.

PAKATAN Harapan (PH) hari ini mengumumkan Adly Zahari sebagai pilihan ketua menteri Melaka sekiranya gabungan pembangkang itu memenangi pilihan raya negeri.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata keputusan dibuat selepas semua parti gabungan bersetuju mencalonkan Adly.

“Kesemua tiga parti komponen dalam PH bersetuju mengenai perkara ini,” katanya semasa pelancaran manifesto PH di Hotel LaCrista, Melaka.

Sementara itu, Anwar berkata semua parti tidak bersetuju dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Sama ada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) atau PH, tiada satu pun bersetuju dengan SOP yang ditetapkan untuk pilihan raya negeri ini oleh SPR.”

PN, PH dan BN bertanding di semua 28 kerusi, dengan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) bertanding satu kerusi dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) diketuai Ibrahim Ali bertanding lima kerusi.

Sebanyak 11 kerusi akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru, sembilan kerusi akan menyaksikan saingan empat penjuru, lima kerusi akan ditandingi lima calon, dan tiga kerusi akan menyaksikan pertembungan enam penjuru.

Sebanyak 22 calon bebas akan menyertai PRN Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 20 November ini.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas empat Adun iaitu Idris Haron (Sg Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Noor Effendi Ahmad (Telok Mas) – menarik sokongan mereka terhadap ketua menteri Sulaiman Md Ali. – 10 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen