SELINGAN jenaka di anugerah Grammy yang mempersenda Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mendapat kecaman oleh anak Trump dan juga duta besar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Dalam komentar politik ketika anugerah muzik terbesar itu berlangsung, pengendali acara James Corden menayangkan video orang ternama yang membacakan petikan dari buku kontroversi “Fire and Fury: Inside The Trump White House.”
Diterbitkan awal bulan ini dan ditulis oleh Michael Wolff, naskhah itu menggambarkan Trump sebagai seorang yang menyendiri, tidak berpengetahuan dan tidak berapa betul.
Video Grammy itu menampilkan beberapa pemuzik seperti John Legend, Cher, Snoop Dogg, Cardi B, dan DJ Khaled yang membacakan petikan dari buku itu, selain saling mencelah memberi komen ketika membaca.
“Saya pasti yang saya tak ada di situ,” kata Snoop Dogg selepas membaca beberapa petikan mengenai hari perlantikan Trump.
Manakala Cardi B memetik sepotong ayat yang merujuk kepada Trump di atas katil bersama burger keju.
“Saya tak boleh nak hadam yang ini,” katanya.
Sebelum ini Trump berkata yang naskhah itu sebagai “Buku Palsu, ditulis oleh pengarang tak bertauliah.”
Video itu diakhiri dengan musuh Trump pada pilihan raya presiden 2016 iaitu Hillary Clinton yang memetik buku itu sebagai berkata Trump suka makan di McDonald.
“Grammy dalam genggaman,” kata Clinton merujuk kepada kehadirannya dalam video untuk anugerah itu.
Berikutan itu, anak Trump, Donald Trump Jr memberi respon melalui Twitter dengan berkata: “Membaca petikan buku #fakenews di Grammy umpama menang hadiah sagu hati selepas kalah pilihan raya presiden.”
Duta PBB, Nikki Haley bagaimanapun tidak memberi respon terhadap Clinton namun berkata yang pemuzik yang membaca petikan itu telah “merosakkan irama.”
“Saya suka dengan Grammy, tapi artis baca buku Fire and Fury sangat ‘potong’,” tulisnya di Twitter.
“Jangan rosakkan muzik bagus dengan sampah. Ada yang suka muzik tanpa meletakkan unsur politik.” – AFP, 29 Januari, 2018.
Komen