Kerajaan perlu teliti semula Perkara 153 yang tidak adil, kata ahli Parlimen


Chan Kok Leong

KERAJAAN harus meneliti semula Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan menyusun semula dasar tindakan afirmatif Malaysia, kata Hassan Abdul Karim.

“Bumiputera diperuntukkan RM10 bilion setiap tahun tetapi lebih 70% daripada mereka yang mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP adalah Bumiputera.

“Siapakah Bumiputera yang mendapat manfaat daripada semua peruntukan ini apabila Melayu, Sabah dan Bumiputera Sarawak masih miskin?,” kata ahli Parlimen Pasir Gudang itu semasa Perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya walaupun beliau menyokong tindakan afirmatif untuk membantu orang Melayu dan Bumiputera yang miskin, sudah tiba masanya untuk berlaku adil kepada kaum lain. 

“Saya dapat lihat ada usaha untuk membantu rakyat Malaysia kerana RM8.2 bilion diperuntukkan untuk Keluarga Malaysia. Tetapi bolehkah Kementerian Kewangan menjelaskan sama ada peruntukan itu untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama.

“Seperti yang ditegaskan oleh pihak lain, peruntukan untuk Bumiputera ialah RM11.4 bilion manakala peruntukan untuk Cina dan India hanya RM345 juta. Bagaimana mereka hanya dapat 3% sedangkan 97% untuk Bumiputera,” kat ahli Parlimen PKR itu.

“Dan apabila kerajaan berkata Bumiputera saya ingin tahu berapa banyak yang diperuntukkan kepada penduduk Sabah dan Sarawak serta berapa banyak yang diberikan kepada orang Melayu,” kata Hassan.

Hassan berkata beliau berasa tergerak untuk membangkitkan isu itu kerana tidak mahu perkara itu diperjuangkan oleh bukan Melayu sahaja.

“Saya seorang ahli Parlimen Melayu Islam dan saya suka kita mendapat lebih banyak peruntukan tetapi adakah ini adil apabila terdapat jurang yang begitu besar?

“Sebagai seorang peguam, kita bercakap tentang keadilan. Apabila saya bangkitkan hal ini, ia bukan kerana saya tidak sayangkan bangsa saya atau tidak mahu orang atau agama saya mendapat peruntukan. Tetapi jangan melampaui batas,” katanya.

Perkara 153 memperuntukkan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Borneo.

Perkara tersebut memperuntukkan kerajaan melindungi kepentingan masyarakat dengan memperuntukkan sumber yang munasabah (permit, lesen, biasiswa dan lain-lain) untuk membantu mereka tanpa merampas hak orang lain. – 10 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen