Pembangkang Sarawak gesa PRN dibuat bila 100% bebas Covid-19


Desmond Davidson

Calon pembangkang untuk kerusi Stakan George Young Siricod Jr berkata persoalan untuk buat pilihan raya negeri Sarawak sangat mudah; ia sama ada pastikan pilihan raya benar-benar selamat atau tidak selamat. – Gambar EPA, 10 November, 2021.

PARTI Sarawak Bersatu mahu pilihan raya negeri (PRN) diadakan apabila negeri itu “100 peratus selamat” daripada ancaman Covid-19.

Calon parti pembangkang untuk kerusi Stakan, George Young Siricod Jr, berkata persoalan untuk buat atau tidak PRN “sebenarnya sangat mudah”

“Ia sama ada pilihan raya benar-benar selamat atau tidak selamat.”

Beliau bertanya apakah indikator terkini untuk tentukan sama ada PRN Sarawak ke-12 akan selamat atau sebaliknya.

Ketika ditanya bilakah negeri itu akan “100 peratus selamat”, Yong menjawab: “Kita (Sarawak) belum masuk Fasa 4 (Pelan Pemulihan Negara/ PPN) dan secara rasmi, Sarawak belum diisytiharkan sebagai antara negeri endemik”.

Sarawak kini berada dalam Fasa 3 PPN.

Memandangkan DUN secara automatik terbubar apabila Yang di-Pertuan Agong menarik balik darurat di Sarawak pada 3 November, PRN perlu dibuat dalam tempoh 60 hari dari tarikh itu atau sebelum 2 Januari.

Bagi menangguh PRN, pembangkang menggunakan isu pandemik selain kelayakan Undi18 yakni rakyat berumur 18 dan 21 tahun yang hanya layak jadi pengundi pada 1 Januari depan, selain mereka yang didaftar secara automatik di bawah pendaftaran pengundi automatik.

Ahad lepas, Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah memberi dua sebab mengapa kerajaan Gabungan Parti Sarawak mahu mengadakan PRN bulan ini.

Uggah berkata ia bagi mengelak musim tengkujuh yang dijangkakan pada Januari dan kemungkinan kemunculan varian baharu Covid-19.

Beliau merujuk kepada varian Delta Plus yang hangat diperkatakan sekarang ini.

Beliau berkata keputusan untuk mengadakan PRN pada bulan ini dicapai “selepas berunding dan berbincang dengan pihak berkuasa yang berkaitan”.

Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak dalam laporan kepada jawatankuasa pengurusan bencana negeri hujung bulan lepas melaporkan tiga subketurunan Delta telah dikesan di negeri ini daripada kes sampel yang diambil pada tengah September hingga 8 Oktober lalu.

Ia adalah AY.24 dengan setiap satu kes dikesan di Kuching, Miri dan Sibu; AY.33 di mana satu kes dikesan di Bintulu; AY.34 dengan satu kes dikesan di Samarahan dan dua di Bintulu manakala AY.37 dengan dua kes di Kuching.

Varian AY.23 kini antara yang dominan di Sarawak. Ia varian yang sama yang memacu pandemik terkini di Singapura.

Uggah, yang juga pengerusi jawatankuasa bencana negeri berkata musim hujan di negeri ini dijangka pada Januari dan Februari.

Beliau berkata PRN pada musim hujan seperti yang didesak pembangkang mungkin penuh dengan risiko kerana banjir yang dijangka berlaku.

Uggah berkata sumber kerajaan akan terkesan jika mereka mahu mengadakan PRN dan mengawal banjir pada masa sama.

Tambahnya kerajaan tidak boleh berjudi nasib untuk tunggu situasi Covid-19 jadi “lebih baik” untuk buat PRN. – 10 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen