JUNTA Myanmar tekah mendakwa seorang wartawan Amerika Syarikat yang ditahan sejak Mei atas hasutan dan keganasan, yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup, kata peguamnya hari ini.
Tentera telah menekan media sejak rampasan kuasa pada Februari, menangkap berpuluh-puluh wartawan yang mengkritik tindakan keras pasukan keselamatan terhadap perbezaan pendapat yang telah membunuh lebih 1,200 orang, menurut kumpulan pemantau tempatan.
Danny Fenster, yang bertugas untuk Frontier Myanmar sejak setahun telah ditangkap ketika dalam perjalanan pulang untuk berjumpa keluarganya pada Mei dan telah ditahan di penjara Insein Yangon sejak itu.
Lelaki berusia 37 tahun itu sudah pun dibicarakan kerana didakwa menggalakkan perbezaan pendapat terhadap tentera, dan melanggar undang-undang.

Tuduhan tambahan di bawah undang-undang antikeganasan dan hasutan Myanmar membolehkan Fenster dihukum maksimum penjara seumur hidup. Perbicaraan dijadualkan bermula 16 November.
“Beliau jadi agak kurus,” kata Than Zaw Aung.
Fenster “kecewa” apabila dikenakan pertuduhan baharu, yang difailkan pada Selasa, tambah peguam itu.
Ia muncul beberapa hari selepas bekas diplomat AS dan perunding tebusan Bill Richardson bertemu ketua junta Min Aung Hlaing di ibu negara Naypyidaw, sekali gus memberi publisiti kepada junta yang terpencil itu.
Richardson sebelum ini telah merundingkan pembebasan banduan dan askar AS di Korea Utara, Cuba, Iraq dan Sudan dan baru-baru ini berusaha untuk membebaskan banduan yang berkaitan dengan AS di Venezuela.
Bekas duta PBB itu berkata beliau berharap menjadi perantara perjanjian untuk menyambung semula lawatan oleh Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa ke penjara—yang telah dipenuhi dengan tahanan politik.
Richardson, yang enggan memberikan butiran lanjut, berkata Jabatan Negara AS memintanya untuk tidak membangkitkan kes Fenster semasa lawatannya.
“Kes Danny telah menjadi lambang penghinaan sepenuhnya tentera Myanmar terhadap media bebas,” kata Emerlynne Gil, timbalan pengarah wilayah bagi penyelidikan Amnesty International, dalam satu kenyataan.
“Tuduhan baru yang keras ini hanya menyerlahkan lagi percubaan untuk mendakwa seorang wartawan bebas yang harus dibebaskan serta-merta dan tanpa syarat supaya beliau boleh bersatu semula dengan keluarga dan rakan-rakannya.” – AFP, 10 November, 2021.
Komen