Belarus tuduh anggota sempadan Poland pukul pendatang


Perkhidmatan pengawal sempadan Belarus berkata empat etnik Kurdish telah dipukul oleh pengawal Poland ketika mereka cuba menyeberangi sempadan. – Gambar AFP, 10 November, 2021.

BELARUS pada Rabu menuduh pasukan keselamatan Poland memukul beberapa pendatang yang cuba menyeberang ke Kesatuan Eropah (EU), ketika krisis di sempadan mereka semakin memuncak.

Pengkritik menuduh rejim Belarus menarik pendatang dari Timur Tengah ke Belarus untuk menghantar mereka menyeberangi sempadan ke EU sebagai tindakan balas terhadap sekatan.

Beratus-ratus pendatang yang terdesak terperangkap dalam suhu beku di sempadan dan kehadiran tentera dari kedua-dua pihak telah menimbulkan kebimbangan konfrontasi.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, perkhidmatan pengawal sempadan Belarus berkata empat etnik Kurdish telah dipukul oleh pengawal Poland ketika mereka cuba menyeberangi sempadan.

“Menurut pelarian, mereka ditahan di wilayah Poland di mana mereka cuba meminta perlindungan dan status pelarian,” kata perkhidmatan sempadan.

Imej yang diterbitkan oleh pengawal sempadan menunjukkan pendatang duduk di sekeliling api dan empat lelaki yang beberapa daripada mereka dengan pakaian berdarah dan seorang dengan luka di tangan menutup muka mereka.

“Berdasarkan banyak kecederaan pada tubuh pendatang, pasukan keselamatan Poland menganiaya orang ramai dan, menggunakan kekerasan, menolak mereka keluar di belakang pagar kawat berduri di sempadan dengan Belarus,” kata kenyataan itu.

Ia berkata lelaki itu telah diberi bantuan perubatan.

Ketegangan antara Brussels dan Minsk meningkat mendadak sejak Ogos tahun lalu apabila orang kuat Belarus Alexander Lukashenko bertindak tegas terhadap penunjuk perasaan antikerajaan ekoran pilihan raya yang dikatakan pembangkang sebagai penuh penipuan.

EU mengenakan pelbagai sekatan berikutan tindakan keras itu, berkata ia sedang pertimbang tindakan baharu ke atas krisis pendatang. – AFP, 10 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen