Perancis bakal bina reaktor nuklear baharu, kata Macron


Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata reaktor baharu itu akan menjamin kebebasan tenaga, bekalan elektrik dan membolehkan Perancis mencapai objektifnya, termasuk keneutralan karbon pada 2050. – Gambar AFP, 10 November, 2021.

PERANCIS akan memulakan pembinaan reaktor nuklear baharu, kata Presiden Emmanuel Macron pada Selasa. 

“Buat kali pertama sejak beberapa dekad kami akan lancarkan semula pembinaan reaktor nuklear dan terus membangunkan tenaga boleh baharu,” lapor Agensi Anadolu.

Namun, beliau tidak memberikan butiran lanjut jumlah atau lokasi reaktor itu.

Reaktor baharu itu akan menjamin kebebasan tenaga, bekalan elektrik dan membolehkan Perancis mencapai objektifnya, termasuk keneutralan karbon pada 2050, tambah beliau. 

Perancis memperoleh kira-kira 70 peratus tenaga elektriknya daripada tenaga nuklear. Menurut dasar peralihan tenaga 2015, kerajaan merancang untuk mengurangkan bahagian tenaga nuklearnya kepada 50 peratus menjelang 2025 untuk meningkatkan tenaga boleh baharu.

Buat masa ini, Perancis tersasar daripada matlamat tenaga boleh baharu yang ditetapkan Kesatuan Eropah. 

“Jika kita mahu membayar tenaga kita pada kadar berpatutan dan tidak bergantung kepada negara asing, kita mesti terus jimatkan tenaga dan melabur dalam pengeluaran tenaga bebas karbon kita sendiri,” kata Macron.

Perancis setakat ini mempunyai 56 reaktor nuklear dan satu reaktor European pressurised  yang sedang dalam pembinaan di loji kuasa Flamanville. Projek itu dilancarkan pada 2007 dan dijangka siap menjelang 2023.

Pada Oktober, Macron mengumumkan pelaburan sebanyak 8 bilion euro (AUS$9.27 bilion) untuk sektor tenaga nuklear dan ia adalah sektor perindustrian ketiga terbesar di negara ini yang menjana peluang pekerjaan dan pendapatan kepada negara.

Perancis mempunyai kumpulan reaktor nuklear terbesar di Eropah dan kedua di dunia selepas Amerika Syarikat (AS). – Bernama, 10 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen