Jangan remehkan calon muda


SEMENJAK pencalonan saudari Farzana Hayani sebagai calon kerusi DUN Sungai Rambai pelbagai reaksi yang dapat kita lihat hanya kerana beliau baru sahaja berumur 21 tahun.

Malah sesama pelajar juga ada yang memperkecilkan Farzana hanya kerana beliau masih seorang pelajar.

Ketidakstabilan politik yang terjadi pada hari ini disebabkan dinosaur politik negara yang rakus dengan kuasa tanpa memikirkan rakyat.

Pencalonan beberapa orang anak muda mewakili Pakatan Harapan (PH) menunjukkan anak muda mendambakan perubahan.

Saya juga menyelar sikap individu atau mana-mana organisasi yang memperkecilkan suara anak muda hanya kerana mereka masih muda. Sepatutnya anak muda diberi peluang untuk memimpin dan berada sebaris dengan orang-orang yang berpengalaman.

Saya yakin dan pasti adik Farzana mempunyai jiwa besar, bersedia menghadapi onak duri sebagai seorang ahli politik di usia yang masih muda dan sanggup menghadapi risikonya.

Malah beliau sudah aktif dalam parti semenjak di bangku sekolah lagi mengikuti jejak langkah ayahnya yang juga ketua Cabang PKR. Ini satu pengorbanan besar yang wajar dijadikan contoh buat anak muda yang lain.

Saya mewakili Wanita Muda dan Srikandi Keadilan mengucapkan selamat maju jaya buat Farzana.

Semoga Farzana kuat semangat dan menjadi contoh buat belia di luar sana. Anak muda adalah aset negara dan perlu diberi perhatian.

Semoga kemenangan buat Farzana Hayani di Sungai Rambai. – 10 November, 2021.


* Yuslaini Azmi, Ketua Wanita Muda AMK Terengganu.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen