PRN Melaka tentukan nasib Bersatu, kata penganalisis


Raevathi Supramaniam

PRESTASI Bersatu pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka akan menentukan seberapa kuat parti itu dalam politik Malaysia, kata penganalisis.

Tanpa sokongan akar umbi Pakatan Harapan (PH) di Melaka, yang menyokong parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), mereka berkata Bersatu mungkin bergelut untuk memenangi undi.

Ia memilih untuk bekerjasama dengan PAS tetapi parti Islam itu tidak kuat di Melaka.

Mazlan Ali, penganalisis politik di Universiti Teknologi Malaysia berkata PRN Melaka akan menjadi penentu “hidup atau mati”  bagi Bersatu.

“Sebab itu pilihan raya ini penting. Jika Bersatu dan PAS kehilangan semua kerusi, rakyat boleh melihat mereka bukan sesiapa dalam politik Malaysia,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Jika mereka boleh menang kira-kira enam atau tujuh kerusi di negeri ini, ia akan menunjukkan Perikatan Nasional (PN) adalah pesaing yang perlu diberi perhatian.”

Mazlan berkata jika prestasi Bersatu kurang baik, kemungkinan PAS juga akan berpisah daripada gabungan PN dan mencari platform yang lebih kukuh untuk memastikan kelangsungannya sendiri.

“PAS juga mempunyai konflik, mereka mengeluarkan mesej yang menunjukkan masih berharap untuk bekerjasama dengan Umno (walaupun bersama PN).

“Jika Bersatu kalah, PAS akan menilai semula pendiriannya dan akan terbuka kepada kerjasama baharu. Apa sahaja boleh berlaku.”

Kekalahan Bersatu di Melaka juga mungkin menyaksikan parti itu berpecah.

Pemimpin seperti Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamarudin berkemungkinan besar akan menubuhkan parti baharu jika Bersatu mendapat tamparan hebat di Melaka, tambah Mazlan.

“Azmin dan Zuraida, walaupun sekarang bersama Bersatu, mereka mempunyai falsafah politik yang berbeza. Kemungkinan besar mereka mungkin menubuhkan parti baharu,” katanya.

Tidak mungkin PKR akan mengambil semula dua pembelot ini, yang menyertai Langkah Sheraton dan menjatuhkan kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH) tahun lepas. Umno juga tidak akan menerima mereka, tambah Mazlan.

Pada PRN Melaka, Bersatu dan Umno akan bertembung antara satu sama lain di semua 28 kerusi, walaupun kedua-duanya berada dalam kerajaan yang sama di bawah pimpinan Ismail Sabri Yaakob.

Profesor Madya Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi berkata Melaka menjadi medan ujian paling tepat untuk Muhyiddin Yassin, Azmin dan Zuraida untuk menunjukkan mereka adalah kuasa yang perlu diberi perhatian selepas memutuskan hubungan dengan Umno.

“Ini adalah peluang mereka untuk menunjukkan  Bersatu bukan sahaja relevan dalam konteks PN tetapi juga dalam landskap politik negara.

“Keputusan PRN akan menentukan sama ada Bersatu akan mengukuhkan kedudukan dan sokongan daripada pengundi,” katanya.

Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata walaupun Bersatu dijangka tidak memenangi cukup kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, ia mesti sekurang-kurangnya memenangi tiga kerusi.

“Ia kerana Muhyiddin tidak akan menang sebanyak Umno. Jika beliau boleh memenangi maksimum tiga, itu menunjukkan Bersatu boleh mengambil bahagian dalam rundingan berikutnya untuk membentuk gabungan pemerintah.

“Jika mereka tidak dapat memenangi walau satu kerusi pun, maka akibatnya dan masa depan adalah buruk bagi Bersatu sebagai kuasa politik yang berdaya maju.”

Oh berkata Bersatu juga mempunyai kelemahan kerana tidak mempunyai akar umbi sendiri dan terpaksa bergantung kepada PAS.

“Mereka cuba mendapatkan sokongan daripada PAS, tetapi sebagai parti politik anda tidak boleh terus meminjam sokongan daripada parti lain.

“Kita lihat bagaimana mereka melakukan ini. Jika, walaupun dengan bantuan PAS, mereka masih tidak boleh memenangi beberapa kerusi, maka habislah Bersatu.”

Kelebihan Bersatu

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar kurang pesimis terhadap masa depan Bersatu dan PN, berkata percubaan Muhyiddin untuk turun padang lebih awal berbanding parti lain untuk bertemu dengan pengundi boleh memberi kelebihan.

“Muhyiddin secara agresif bertemu pengundi di negeri ini. Azmin juga turut bersama Mas Ermieyati Samsudin ketika melancarkan jentera pilihan raya yang juga jauh lebih awal berbanding parti lain.

“PN tahu ia perlu bekerja lebih keras untuk menguasai Umno di Melaka. Mereka juga tiada pilihan selain memastikan mereka dapat mengekalkan dua kerusi yang dimenangi pada PRU14, sambil menambah lagi untuk membuktikan mereka setanding dengan Barisan Nasional dan PH.”

Pada PRU14, Bersatu memenangi kerusi Paya Rumput dan kerusi Telok Mas di bawah lambang PH.

Hisommudin berkata Bersatu juga perlu bijak dan menggunakan populariti Muhyiddin di Melaka untuk meraih undi.

“Imej beliau di Melaka cukup kukuh di kalangan pengundi, yang berterima kasih atas bantuan beliau semasa menjadi perdana menteri.

“PN perlu bekerja keras di Melaka untuk memastikan Bersatu, PAS dan Gerakan kekal relevan dalam konteks Melaka, yang akan digunakan untuk mengukur sokongannya pada PRU15.”

PN bertanding kesemua 28 kerusi di Melaka. Bersatu akan bertanding 15 kerusi, PAS (8) dan Gerakan (5).

Kempen sedang dijalankan dengan pematuhan ketat kepada prosedur operasi standard dan larangan sepenuhnya terhadap kempen secara fizikal.

Negeri itu akan keluar mengundi pada 20 November. – 10 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen