PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte mengambil tindakan terhadap seorang pegawai pendakwa raya anti rasuah yang dituduh membocorkan maklumat akaun banknya selepas seorang pemimpin pembangkang mendakwa Duterte terlibat dengan rasuah.
Ketika masih calon presiden, Duterte dituduh menyembunyikan 211 juta peso yang disimpan dalam akaun bank rahsia. Tuduhan itu dilaporkan kepada pejabat Ombudsman, sebuah badan anti rasuah. Duterte menafikan tuduhan tersebut.
Jurucakap presiden, Harry Roque hari ini berkata ketua pegawai Duterte hari ini menggantung timbalan Ombudsman, Melchor Arthur Carandang selama tiga bulan.
Pejabat Ombudsman enggan mengulas perkembangan terbaru ini.
Carandang memberitahu sebuah stesen televisyen tempatan tahun lalu bahawa Ombudsman sejak 2016 telah diam-diam menyiasat urusan bank Duterte dan keluarganya.
Siasatan dibuat susulan laporan yang dibuat oleh Senator Antonio Trillanes, seorang pengkritik Duterte.
Trillanes mendakwa Duterte menggelapkan dana kerajaan dan terlibat dalam kegiatan haram semasa bertahun-tahun memegang jawatan sebagai datuk bandar Davao, sebelum beliau jadi presiden.
Dalam satu-satunya komen terhadap kes itu, bank negara Filipina mengesahkan menerima permohonan daripada Ombudsman mengenai akaun bank Duterte bersabit dakwaan yang dibuat oleh Trillanes. Bank pusat bagaimanapun belum meneliti permohonan tersebut.
Semua pegawai kerajaan termasuk presiden tertakluk di bawah undang-undang untuk mengisytiharkan harta setiap tahun sebagai langkah pencegahan rasuah.
Menurut Roque, Carandang digantung selepas dua individu memfailkan kes terhadapnya atas dakwaan melanggar undang-undang kerana “menggunakan maklumat sulit dan mendedahkan maklumat palsu”.
Trillanes mendakwa Duterte melanggar perlembagaan kerana kedudukan pendakwa raya khas adalah bebas dan tidak ditentukan oleh ketua eksekutif. – Agensi, 29 Januari 2018
Komen