Korea Selatan, AS, Indonesia anjur bengkel keselamatan penerbangan Asean


Satu bengkel dalam talian bersama Amerika Syarikat akan dianjurkan oleh Korea Selatan mengenai keselamatan penerbangan untuk pakar dari Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) bulan ini. – Gambar EPA, 9 November, 2021.

KOREA Selatan akan menganjurkan bengkel dalam talian bersama Amerika Syarikat dan Indonesia, mengenai keselamatan penerbangan untuk pakar dari Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) bulan ini, kata Kementerian Luar di Seoul pada Selasa.

Siri Bengkel Asean mengenai Keselamatan Penerbangan Semasa Covid-19 dianjurkan bersama oleh Kementerian Luar Korea Selatan, Jabatan Negara AS dan agensi memerangi keganasan Indonesia untuk mengembangkan kerjasama antara ketiga-tiga pihak dalam segmen penerbangan, lapor Agensi Berita Yonhap.

Siri pertama bengkel itu diadakan pada Selasa dan Rabu, manakala siri kedua akan berlangsung selama dua hari minggu depan untuk berkongsi pengetahuan pakar mengenai keselamatan penerbangan untuk usaha bersama dalam memerangi keganasan dan ancaman kargo, kata kementerian itu.

Siri seminar itu adalah sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk menyelaraskan Dasar Selatan Baharu Seoul di Asia Tenggara dan strategi Indo-Pasifik Washington, yang dibincangkan semasa sidang kemuncak sekutu pada Mei, katanya. – Bernama, 9 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen