Perkhidmatan media sosial China, Weibo digantung 


Weibo telah menutup senarai "tanda pagar (hashtag) paling dicari" dan "topik paling hangat", perkhidmatan soal jawab dan bahagian yang menumpukan kisah hubungan selebriti, sehingga pukul 9 malam pada 3 Februari.– Gambar Facebook, 29 Januari, 2018.

MEDIA sosial paling popular di China, Sina Weibo yang menerima kritikan daripada pemantau internet Beijing, berikrar untuk lebih bertanggungjawab, lapor agensi berita Xinhua, memetik satu artikel diterbitkan China Daily pada Isnin.

Pejabat Pentadbiran Cyberspace Beijing pada Sabtu telah memanggil pihak pengurusan Weibo, untuk memberi penjelasan mengenai kegagalan syarikat itu menapis maklumat menyalahi undang-undang yang disiarkan penggunanya.

Susulan itu, Weibo dikenakan tindakan digantung perkhidmatan selama seminggu.

Menurut Weibo, pihaknya telah menutup senarai ” tanda pagar (hashtag) paling dicari” dan “topik paling hangat”, perkhidmatan soal jawab dan bahagian yang menumpukan kisah hubungan selebriti, sehingga pukul 9 malam pada 3 Februari.

Syarikat itu juga mengeluarkan senarai topik yang dilarang untuk dimasukkan dalam topik panas di laman sosial itu sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga bulan.

“Kandungan pendapat awam yang salah, lucah dan diskriminasi etnik terus tersebar menerusi Sina Weibo. Ia adalah masalah serius,” jelas kenyataan Pejabat Pentadbiran Cyberspace.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Universiti Sains Politik dan Pusat Undang-undang Komunikasi China, Zhu Wei berkata, mengadakan perbincangan dengan syarikat itu hanyalah penyelesaian sementara, mekanisme jangka panjang ialah menerusi undang-undang.  

Weibo adalah media sosial Twitter di China yang mempunyai kira-kira 361 juta pengguna aktif sejak Jun tahun lepas.– Bernama, 29 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen