KAPSUL SpaceX yang mengangkut empat angkasawan selamat mendarat di luar pantai Florida pada Isnin selepas enam bulan sibuk di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), disiar secara langsung oleh Nasa.
Diperlahankan oleh atmosfera Bumi, serta empat payung terjun besar, kapsul Dragon itu mampu menahan penurunan berpusing itu kerana perisai habanya.
Ia mendarat di Teluk Mexico pada 10.33 malam Waktu Timur Amerika Syarikat, menandakan berakhirnya misi “Crew-2”.
Sebuah bot mengambil kapsul itu, dan angkasawan itu dibawa pulang ke darat melalui helikopter.
Sejak tiba pada 24 April, krew dua warga Amerika, seorang Perancis dan seorang angkasawan Jepun menjalankan beratus-ratus eksperimen dan membantu menaik taraf panel solar stesen itu.
Mereka menaiki Dragon yang digelar “Endeavour”, dan berlepas dari ISS pada 2.05 petang, umum Nasa.
Endeavour kemudian berpusing keliling ISS selama kira-kira satu setengah jam untuk mengambil gambar, misi pertama seumpama itu sejak kapal angkasa Soyuz Rusia melakukan gerakan serupa pada 2018.
Dragon, yang kerap kali diterbangkan secara auto mempunyai tingkap bulat kecil di bahagian atas hadapannya yang membolehkan para angkasawan mengarahkan kamera mereka.
“Berbangga dapat mewakili Perancis sekali lagi di angkasa lepas! Perhentian seterusnya, Bulan?” tweet Thomas Pesquet dari Agensi Angkasa Eropah (ESA).
Aktiviti mereka termasuk mendokumentasikan permukaan bumi untuk merekodkan perubahan yang disebabkan oleh manusia dan kejadian semula jadi, menanam cabai dan mengkaji cacing untuk lebih memahami perubahan kesihatan manusia di angkasa.
Pelepasan Crew-2 telah ditangguhkan sehari oleh angin kencang.
Cuaca buruk dan apa yang dipanggil Nasa sebagai “isu perubatan kecil” juga telah menunda pelancaran set angkasawan seterusnya, iaitu misi Crew-3, yang kini akan dilancarkan pada Rabu.
Sehingga itu, ISS akan didiami oleh hanya tiga angkasawan—dua warga Rusia dan seorang Amerika.
SpaceX mula menyediakan perkhidmatan teksi kepada angkasawan ke ISS pada 2020, menamatkan sembilan tahun pergantungan AS pada roket Rusia untuk perjalanan berikutan tamatnya program Space Shuttle. – AFP, 9 November, 2021.
Komen