PENDAKWA raya Mexico pada Isnin berkata mereka telah menangkap seorang lelaki yang dituduh mengintip seorang wartawan menggunakan perisian Pegasus di tengah-tengah skandal perisian pengintip global tersebut.
Suspek, yang dikenali sebagai Juan Carlos “G,” dianggap sebagai orang pertama yang ditangkap di Mexico kerana menggunakan perisian kontroversi yang dibangunkan oleh firma Israel NSO Group.
Dia ditahan di pusat bandar Queretaro atas tuduhan memantau komunikasi secara haram dan dipindahkan ke penjara di Mexico City, kata pejabat peguam negara.
Tindakan suspek terhadap wartawan yang tidak dinamakan itu bertujuan “mengehad dan menjejaskan kebebasan bersuaranya,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada Julai, siasatan media antarabangsa yang dipanggil Projek Pegasus mendedahkan 25 wartawan Mexico antara sasaran pelanggan NSO.
Salah seorang daripada mereka, Cecilio Pineda, telah dibunuh pada Mac 2017.
Secara keseluruhan, kira-kira 15,000 nombor telefon pintar Mexico dilaporkan menjadi antara lebih 50,000 yang dipercayai telah dipilih oleh pelanggan NSO untuk diawasi.
Jumlah itu termasuk kalangan orang dalam Presiden Andres Manuel Lopez Obrador ketika beliau menjadi ketua pembangkang dan saingan politik presiden ketika itu Enrique Pena Nieto.
Menurut siasatan Projek Pegasus, agensi Mexico yang telah memperoleh perisian intip itu termasuk kementerian pertahanan, pejabat peguam negara dan perkhidmatan perisikan keselamatan negara.
Lopez Obrador berkata pihak berkuasa kini hanya mengintip penjenayah dan bukannya lawan politik atau wartawan. – AFP, 9 November, 2021.
Komen