Pengganas serang masjid Christchurch mungkin rayu hukuman


Brenton Tarrant mengaku bersalah terhadap 51 pertuduhan membunuh, dalam insiden tembakan di Masjid Al Noor Christchurch pada 2019, ketika jemaah sedang solat Jumaat. – Gambar AFP, 8 November, 2021.

PENYERANG masjid di Christchurch sedang mempertimbangkan kemungkinan memfailkan rayuan terhadap hukuman penjara seumur hidup dikenakan kepadanya, atas alasan pengakuan bersalah terhadap kejadian tembakan pada 2019 dibuat kerana berada di bawah tekanan, kata peguamnya.

Brenton Tarrant, 31, berasal dari Australia mengaku bersalah terhadap 51 pertuduhan membunuh, 40 dakwaan percubaan membunuh dan satu pertuduhan keganasan ketika didakwa di mahkamah tahun lalu.

Dia dihukum penjara seumur hidup tanpa pembebasan bersyarat, kali pertama hukuman penjara seumur hidup dijatuhkan di New Zealand.

Tarrant tidak menawarkan pembelaan pada masa itu tetapi peguamnya, Tony Ellis berkata anak guamnya itu mempersoalkan keputusannya untuk mengaku bersalah.

Ellis berkata tertuduh berusia 31 tahun itu mendakwa pengakuan itu dibuat di bawah tekanan kerana dia diberi “layanan yang tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah dirinya” semasa ditahan reman.

“Dia memutuskan jalan keluar paling mudah ialah mengaku bersalah,” kata Ellis kepada Radio New Zealand.

Ellis dilaporkan mengambil alih sebagai peguam Tarrant sebelum siasatan koroner ke atas insiden tembakan pada Mac 2019 itu dan menasihatkan anak guamnya menggunakan haknya untuk mengemukakan rayuan.

“Dia dihukum lebih 25 tahun, ia hukuman tanpa harapan dan tidak dibenarkan, ia pelanggaran Rang Undang-undang Hak,” kata Ellis.

Tarrant menyerang jemaah yang sedang mendirikan solat Jumaat di Masjid Al Noor Christchurch dengan senjata separa automatik, sebelum ke Pusat Islam Linwood, dengan menyiarkan pembunuhan itu secara langsung.

Mangsa semuanya beragama Islam dan termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas.

New Zealand tidak mempunyai hukuman mati dan dalam menjatuhkan hukuman pada Ogos tahun lalu, Hakim Cameron Mander berkata beliau mengenakan hukuman paling keras terhadap tindakan “tidak berperikemanusiaan” Tarrant.

“Jenayah anda sangat kejam, walaupun anda ditahan sehingga anda mati, ia tidak akan setimpal dengan hukuman dan kecaman sewajarnya,” kata Mander ketika itu. – AFP, 8 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen