Pakaian konsert terakhir Amy Winehouse dijual pada harga AS$243,200


Amy Winehouse yang memenangi banyak anugerah Grammy, yang albumnya "Back to Black" pada 2006 yang sarat penuh perasaan, dikira sebagai klasik moden, sering bercakap tentang pengalaman peribadinya memerangi ketagihan alkohol dan dadah. – Gambar EPA, 8 November, 2021.

PAKAIAN yang diperagakan Amy Winehouse ketika konsert terakhirnya dijual pada harga AS$243,200, 16 kali ganda nilai anggaran asal, sebagai sebahagian daripada memorabilia kehidupan mendiang diva yang dilelong di California.

Winehouse mengenakan pakaian bercetak buluh hijau dan hitam pada konsert di Belgrade pada 2011.

Sebulan kemudian, pada 23 Julai, beliau meninggal dunia akibat keracunan alkohol. Beliau berumur 27 tahun ketika itu.

Kematiannya adalah kemuncak perjuangan yang panjang dengan alkohol dan dadah.

Pakaian itu adalah kemuncak koleksi 800 item peribadi, daripada coli dan DVD kepada buku dan alat solek yang dijual oleh ibu bapa Winehouse, Mitch dan Janis.

Mendiang Amy Winehouse mengenakan pakaian bercetak buluh hijau dan hitam pada konsert terakhirnya di Belgrade pada 2011. – Gambar EPA, 8 November, 2021.

Keseluruhan koleksi itu menarik sebanyak AS$4 juta, dua kali ganda ramalan asal, menurut rumah lelong Julien’s, yang menguruskan penjualan yang berlangsung dari Sabtu hingga Ahad.

“Sudah tentu, terdapat peminat dan muzium dan pengumpul di seluruh dunia yang ingin memiliki beberapa barangan ini, menjaganya, menunjukkannya di muzium, mengekalkan warisan dan ingatannya serta pada masa yang sama mengumpul wang,” kata Martin Nolan dari Julien’s menjelang lelongan.

Hasilnya akan disalurkan kepada Yayasan Amy Winehouse, yang menyokong golongan dewasa muda yang bergelut dengan ketagihan.

“Semua pakaian ini mewakili Amy - pemuzik yang hebat, penulis lagu, tetapi juga ikon fesyen,” kata Nolan.

Winehouse yang memenangi banyak anugerah Grammy, yang albumnya “Back to Black” pada 2006 yang sarat penuh perasaan, dikira sebagai klasik moden, sering bercakap tentang pengalaman peribadinya memerangi ketagihan alkohol dan dadah.

Satu lagi kemuncak jualan merupakan beg tangan berbentuk hati yang dibuat khas oleh Moschino, digunakan Winehouse pada Anugerah Brit 2007, yang dijual pada harga AS$204,800.

Banyak pakaian lain yang dipakainya dalam persembahan dijual antara AS$12,500 dan AS$150,000.

Katalog setebal 400 muka surat oleh Julien’s memberi panduan tentang pengaruh dan kerjaya penyanyi itu, tetapi juga gaya retro tersendiri yang menjadikannya ikon fesyen. – AFP, 8 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen