Singapura lancar program AI perkukuh keupayaan perkhidmatan kewangan


TIMBALAN Perdana Menteri Singapura Heng Swee Keat pada Isnin melancarkan Program Kecerdasan Buatan (AI) Nasional dalam Kewangan di Festival FinTech Singapura (SFF) dan Minggu Inovasi dan Teknologi Singapura (SWITCH) 2021.           

Menurut laporan Agensi Berita Xinhua, program itu merupakan inisiatif bersama oleh Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) dan Pejabat AI Nasional (NAIO) di Pejabat Negara Pintar dan Kerajaan Digital (SNDGO).

Ia bertujuan untuk membina keupayaan AI yang mendalam dalam sektor kewangan Singapura untuk mengukuhkan perkhidmatan pelanggan, pengurusan risiko dan daya saing perniagaan.

Heng dalam ucapan pembukaan di SFF dan SWITCH 2021 berkata, Program AI Nasional dalam Kewangan  merangkumi NovA!, sebuah platform AI yang menyeluruh untuk industri yang berkaitan dengan risiko kewangan.

NovA! merupakan kerjasama antara bank yang berpangkalan di Singapura dan firma FinTech tempatan. Pada fasa awal, NovA! akan memberi tumpuan untuk membantu institusi kewangan menilai dengan lebih baik kesan persekitaran terhadap syarikat dan mengenal pasti risiko persekitaran yang baharu muncul.

Pada majlis sama, timbalan perdana menteri itu turut melancarkan Program AI Nasional untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan sektor awam dalam pelbagai cara, seperti penggunaan analitik teks AI untuk pemahaman yang lebih baik terhadap sejumlah besar maklum balas yang diterima oleh agensi barisan hadapan kerajaan, dan penggunaan AI untuk pemadanan pekerjaan yang semakin baik di portal pekerjaan kebangsaan.

SFF dan SWITCH 2021 adalah dua acara mercutanda yang dianjurkan oleh Singapura untuk komuniti inovasi global dari 8 hingga 12 November. – Bernama, 8 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen