Penyanyi rap disaman selepas 8 penonton maut ketika konsert


Penyanyi rap Amerika Travis Scott disaman selepas konsertnya di Astroworld dibatalkan selepas insiden rempuhan maut. – Gambar AFP, 8 November, 2021

PENYANYI rap Travis Scott dan Drake disaman kerana “mencetus kekacauan” selepas lapan orang terbunuh dan berpuluh lain cedera ketika konsert di Texas, firma guaman mengesahkan pada Ahad.

Firma Texas Thomas J. Henry Law pada Ahad menciap kembali artikel diterbitkan oleh Daily Mail mengenai saman itu, mengesahkan ia memfailkan “salah satu saman pertama dalam tragedi Travis Scott Astroworld Festival.”

Plaintif ialah penonton konsert Kristian Paredes berusia 23 tahun, yang cedera parah susulan insiden di konsert pada malam 5 November.

Kira-kira 50,000 penonton berada di Taman NRG Houston apabila orang ramai mula merempuh ke arah pentas ketika Scott membuat persembahan, mencetuskan huru-hara.

Paredes, pemastautin di Texas turut menyaman penganjur konsert Live Nation dan tempat itu.

“Orang ramai menjadi huru-hara dan rempuhan bermula,” katanya.

“Ramai merayu pengawal keselamatan yang diupah oleh Live Nation Entertainment untuk mendapatkan bantuan, tetapi tidak diendahkan.”

Saman itu, yang difailkan di mahkamah Harris County Houston.

Saman itu juga menuduh bintang rap Kanada Drake, yang menyertai Scott, menyumbang kepada rempuhan ke arah pentas.

“Ketika Drake naik ke atas pentas bersama Travis Scott, beliau turut menyebabkan reaksi orang ramai walaupun dia tahu kelakuan Travis Scott sebelum ini,” dakwaan aduan itu.

Beliau terus membuat persembahan walaupun penonton menjadi tidak terkawal, tambahnya.

Peguam berprofil tinggi Ben Crump mengumumkan pada Ahad memfailkan saman terhadap Scott dan Astroworld.

Crump pakar dalam hak sivil dan mewakili anak guam termasuk keluarga mangsa keganasan polis George Floyd dan Breonna Taylor.

Beliau dan peguam bersama Bob Hilliard memfailkan saman pada Ahad bagi pihak penonton konsert berusia 21 tahun Noah Gutierrez, yang menggambarkannya sebagai huru-hara.

Peguam berkata mereka menjangkakan untuk memfailkan saman bagi pihak penonton konsert lain pada minggu itu.

“Kami menggesa orang lain yang mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau menyaksikan peristiwa hari itu untuk menghubungi kami.”

Mereka yang terselamat dalam insiden itu menggambarkan adegan huru-hara orang ramai berhimpit-himpit antara satu sama lain, dengan ramai yang bergelut untuk bernafas.

Scott, yang melancarkan festival muzik Astroworld pada 2018, dilaporkan menghentikan persembahannya beberapa kali apabila melihat peminat dalam keadaan kepayahan berhampiran pentas.

Pihak berkuasa di Texas membuka siasatan jenayah ke atas tragedi itu, membabitkan detektif pembunuhan dan narkotik, kata Ketua Polis Houston Troy Finner kepada pemberita pada Sabtu.

Datuk Bandar Houston Sylvester Turner berkata pihak berkuasa sedang melihat rakaman video dan bercakap dengan saksi, penganjur konsert dan mereka yang dimasukkan ke hospital.

Beliau memberitahu pemberita pada Sabtu bahawa lapan orang yang terbunuh berumur dari 14 hingga 27 tahun, dengan seorang mangsa tidak dikenal pasti usianya.

Kekacauan itu turut mengakibatkan 25 orang dibawa ke hospital dan lebih 300 orang dirawat di tempat kejadian kerana cedera ringan. – AFP, 8 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen