PENTADBIRAN Presiden Joe Biden pada Ahad mengeluarkan kenyataan mempertahankan mandat vaksin Covid-19 yang kontroversi untuk syarikat besar walaupun dicabar mahkamah yang membekukan program tersebut.
“Presiden dan pentadbiran tidak akan buat mandat ini jika mereka tidak fikir ia sesuai dan perlu,” kata Pakar Bedah Awam Vivek Murthy dalam rancangan bual bicara ABC “This Week.”
“Pentadbiran sememangnya bersedia untuk pertahankannya.”
Malah ketua kakitangan White House Ron Klain, memetik keputusan mahkamah yang membekukan mandat tersebut dengan berkata beliau “agak yakin” mandat itu dibenarkan nanti.
“Ia perkara asas,” katanya kepada NBC “Meet the Press.”
Mandat persekutuan, yang direka untuk mendorong berjuta-juta pekerja dalam syarikat perniagaan dengan lebih 100 kakitangan mendapatkan suntikan Covid-19—atau buat ujian mingguan—adalah kunci kepada percubaan pentadbiran untuk kawal pandemik koronavirus.
Namun pada Sabtu, Mahkamah Rayuan Amerika Syarikat berkata beberapa pempetisyen yang menentang mandat itu telah membangkitkan “isu undang-undang dan perlembagaan yang serius.” Mahkamah kemudian menangguhkan sementara mandat tersebut.
Pempetisyen itu termasuk lima negeri Republikan AS yang kuat iaitu Texas, Louisiana, Carolina Selatan, Utah dan Mississippi, serta beberapa syarikat swasta dan kumpulan agama.
Jika ditangguhkan ia dikatakan akan jadi satu langkah kebelakang kepada salah satu usaha Biden yang paling luas dan berimpak tinggi untuk mendapatkan imunisasi meluas pekerja Amerika menjelang musim sejuk apabila kebangkitan semula Covid-19 dijangka.
Gabenor Texas Greg Abbott, seorang Republikan yang menentang mandat pelitup muka dan vaksin, memuji keputusan itu dalam ciapan di Twitter.
“Pendengaran kecemasan akan dibuat tidak lama lagi,” katanya. “Kami akan ada hari kami di mahkamah untuk hentikan salah guna kuasa Biden yang tidak ikut perlembagaan.”
Mandat vaksin mempunyai sejarah yang panjang di AS, tetapi secara amnya telah diisukan oleh bandar atau negeri.
Yang menjadi isu di sini ialah seorang presiden mengeluarkan mandat yang begitu meluas di seluruh negara.
Peguam negeri Texas Ken Paxton, antara mereka yang memfailkan saman untuk menghalang mandat Biden, berkata pada Sabtu di CNN presiden telah melebihi kuasanya.
“Perjuangan belum berakhir,” kata Paxton melalui Twitter sebelum ini, “dan saya tidak akan berhenti menentang tindakan melampaui perlembagaan ini!” – AFP, 8 November, 2021.
Komen