SAYA mengambil maklum kenyataan beberapa tokoh pengasas parti Muda berkaitan isu calon anak muda daripada Pakatan Harapan (PH) serta isu Adun lompat daripada Umno.
Untuk makluman, Angkatan Muda Keadilan (AMK) secara dasarnya masih berpegang pada prinsip menolak pihak yang merosakkan sistem demokrasi malah sehingga hari ini beberapa pimpinan AMK secara lantang dan terbuka di media mengkritik tindakan pimpinan menerima bekas Adun ini.
Namun tindakan beberapa pengasas Muda memperkecilkan calon anak muda daripada PH jelas memperlihatkan perangai sebenar Muda.
Adakah tindakan Muda ini yang dilihat seperti “meroyan” adalah kerana gagal mendapatkan kerusi daripada PH?
Saya melihat Muda memperkecilkan diri sendiri apabila melenting serta mengeluarkan kenyataan seolah calon anak muda daripada PH hanya “alat” untuk menutup isu Adun lompat.
Saya tidak ingin cerita tentang calon anak muda dari parti sekutu Amanah dan DAP namun untuk makluman calon anak muda PKR bukanlah “alat” seperti yang didakwa beberapa pengasas Muda.
Saya mengambil contoh Ketua AMK Melaka, B. Prasanth Kumar yang diletakkan bertanding di DUN Rim telah bergiat aktif dalam politik ketika kebanyakan pengasas Muda masih berada di luar politik termasuk Syed Saddiq.
Beliau bekerja di DUN Rim sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan menjadi calon pilihan kedua pada ketika itu, jika ahli Parlimen Hang Tuah Jaya tidak bertanding di kerusi DUN Rim.
Begitu juga Farzana Hayani; walau berstatus mahasiswi beliau sering turun padang dan bekerja di DUN Sungai Rambai sejak presiden Muda masih menjadi “macai” Dr Mahathir Mohamad dalam Bersatu.
Begitu juga Mohamad Asri Ibrahim yang sekian lama bekerja bersama PKR Melaka dan kini memegang jawatan ketua Penerangan Majlis Pimpinan PKR Melaka dan penyelaras PKR DUN Lendu.
PKR tidak meletakkan calon anak muda ini sebagai “alat” untuk menutup isu seperti yang didakwa oleh beberapa pemimpin pengasas Muda.
Mereka diletakkan sebagai calon kerana mereka layak atas khidmat yang mereka berikan selama ini.
Muda tidak tahu halangan dan dugaan yang dilalui calon anak muda ini sehingga parti meletakkan kepercayaan kepada mereka untuk berentap di gelanggang pilihan raya bagi mendapatkan semula mandat rakyat.
Tindakan Muda jelas satu penghinaan kepada calon anak muda. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku apatah lagi dari parti yang kononnya membawa ideologi muda dan segar.
Muda sepatutnya meraikan dan menyambut baik calon anak muda tidak kira dari parti sekutu mahupun seteru dan bukan menyambut mereka dengan penghinaan.
Jangan hanya kerana rasa tidak puas hati setelah gagal mendapatkan kerusi samada dari PKR, DAP mahupun Amanah maka calon anak muda ini dihina.
Lebih baik Muda fokus kepada kelulusan parti di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia agar Muda tidak perlu mengemis kerusi dari parti lain dan boleh bawa parti ke meja rundingan sebenar. – 8 November, 2021.
* Razeef Rakimin, ketua Penerangan AMK Sabah.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen