Operasi bersepadu setiap hujung minggu di Pulau Pinang


Mohd Suhaily mengetuai operasi selama empat jam di George Town, malam tadi. – Gambar Facebook, 7 November, 2021.

POLIS Kontinjen Pulau Pinang akan menjalankan operasi pencegahan jenayah pada setiap hujung minggu di negeri itu dalam usaha memastikan kadar jenayah dapat dikurangkan terutama selepas kebenaran merentas negeri diberikan.

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pihaknya turut mengadakan operasi pada hari biasa namun Op Pencegahan Jenayah Bersepadu 2021 itu dijalankan khusus setiap hujung minggu berikutan peningkatan jumlah pengunjung ke Pulau Pinang sejak awal Oktober lalu.

“Operasi ini dijalankan bagi memastikan pencegahan jenayah dapat dilaksanakan berikutan peningkatan jumlah pengunjung ke negeri ini sejak kebenaran merentas negeri dan ia juga bagi memastikan kadar jenayah di Pulau Pinang dapat dikurangkan.

“Bagaimanapun, ia bukan bermakna hari biasa tiada operasi, operasi masih berjalan seperti biasa dari semasa semasa malah tidak kira waktu dan lokasi,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook PDRM Pulau Pinang, hari ini.

Terdahulu beliau mengetuai Op Pencegahan Jenayah Bersepadu 2021 yang dijalankan bermula jam 10 malam tadi hingga jam 2 pagi hari ini. Turut serta Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Fisol Salleh.

Mohd Shuhaily berkata, menerusi operasi itu, pihaknya membuat pemantauan dan pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan tumpuan pelancong antaranya Padang Kota Lama, Weld Quay, Persiaran Karpal Singh, Queensbay, Auto City/Icon City, Design Village, Penang Times Square serta Midlands Park.

Katanya, pemeriksaan itu bukan sahaja membabitkan pengunjung malah premis yang beroperasi di kawasan tumpuan pelancong bagi memastikan pemiliknya mematuhi SOP yang ditetapkan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19. 

“Omnipresence (Kehadiran) itu sendiri yang membawa maksud mencegah jenayah, mengekalkan kehendak awam, menyediakan perkhidmatan awam dan menentang jenayah melalui penangkapan jenayah dan operasi pencegahan jenayah bersepadu sebegini akan diteruskan lagi pada hujung minggu,” katanya.

Katanya, dalam operasi itu tiada kompaun dikeluarkan kerana ia hanya membabitkan pemeriksaan dan memberi nasihat sahaja  malah pengunjung juga mematuhi SOP yang ditetapkan. – Bernama, 7 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen