Polis rampas rokok seludup bernilai RM1.11 juta


PANIK melihat polis menyebabkan seorang lelaki lari meninggalkan lori berisi 7,400 karton rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1.11 juta di jalan utama berhampiran Kampung Padang di Kuantan, Jumaat lalu.

Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf, berkata kejadian berlaku pada jam 6.50 pagi ketika pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Kuantan melakukan serbuan ke atas lori itu berdasarkan hasil maklumat orang awam.

“Lori itu diparkir di kawasan berhampiran semak dan suspek yang menyedari kehadiran polis meninggalkan kenderaan itu dalam keadaan tidak berkunci.

“Serangkai anak kunci di bahagian tengah antara tempat duduk dapat membuka mangga di belakang lori yang kemudiannya menemukan rokok dipercayai diseludup dari negara jiran,” katanya pada sidang media di Kuantan hari ini.

Ramli berkata, siasatan juga mendapati lori itu menggunakan nombor pendaftaran palsu iaitu milik lori sebuah kilang plastik di Tebrau, Johor.

Beliau berkata, semua rokok yang dirampas itu dipercayai diseludup bagi pasaran Pahang dan negeri berhampiran dengan nilai jualan sekitar RM7 hingga RM10 sekotak.

Dalam perkembangan lain, Ramli berkata, siasatan jenayah rogol untuk tahun ini meningkat kepada 94 kes setakat Oktober lalu, berbanding 84 kes untuk tempoh sama pada 2020.

Daripada 94 kes itu, 21 daripadanya membabitkan kes sumbang mahram manakala empat rogol secara berkumpulan.

“89 kes tahun ini juga membabitkan remaja bawah 19 tahun dengan majoriti berpunca daripada hubungan seks sukarela sama ada di rumah mangsa atau suspek, selepas berkenalan menerusi media sosial,” katanya.

Sehubungan itu, Ramli menasihatkan ibu bapa untuk mengawal dan mengawasi tingkah laku anak sebagai langkah pencegahan selain usaha dilakukan polis dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan. – Bernama, 7 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen