PM mohon Singapura ringankan hukuman Nagaenthran


PM Ismail Sabri Yaakob meminta kerajaan Singapura untuk kemungkinan menangguhkan hukuman terhadap D Nagaenthran dan mengemukakan permohonan baharu Pengampunan Presiden Singapura. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2021.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob difahamkan mengutuskan surat kepada rakan sejawatannya di Singapura Lee Hsien Loong, bagi meringankan hukuman kes melibatkan seorang rakyat Malaysia yang dijadualkan menjalani hukuman gantung kerana mengedar dadah.

Bernama hari ini difahamkan Ismail Sabri meminta kerajaan Singapura untuk kemungkinan menangguhkan hukuman tersebut dan mengemukakan permohonan baharu Pengampunan Presiden Singapura bagi kes melibatkan D Nagaenthran.

Nagaentharan, 33, yang didakwa peguamnya sebagai seorang kurang upaya pembelajaran, telah ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 atas kesalahan penyeludupan 42.72 gram dadah jenis diamporphine dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2020.

Proses rayuan melalui mahkamah telah pun dibuat sehingga ke peringkat akhir, iaitu melalui permohonan Pengampunan Presiden Singapura dan ditolak pada 1 Jun 2020.

Hukuman mati itu dijadualkan dilaksanakan pada 10 November. – Bernama, 7 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen